Segera umum kuota haji untuk veteran ATM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) cawangan Perlis menggesa kerajaan pusat segera mengumumkan kuota haji untuk mereka supaya anggotanya yang layak dapat membuat persiapan ke Tanah Suci tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Idrus Kassim berkata, mereka bukan mengharapkan bantuan wang daripada kerajaan tetapi memadai dengan meneruskan pemberian kuota seperti sebelum ini.

“Ramai anggota PVATM mempunyai simpanan mencukupi dan berusia lebih 60 tahun mengharapkan kuota sebanyak 2,000 kepada mereka dikekalkan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurut Idrus, biasanya pengumuman mengenai peruntukan kuota itu dibuat oleh kerajaan pusat tetapi sehingga kini belum kedengaran apa-apa.

“Oleh kerana Tabung Haji telah memulakan kursus haji untuk bakal haji tahun ini, maka adalah wajar kerajaan tidak berlengah mengumumkannya,” kata beliau.

Idrus turut menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran tentera tahun ini bagi meringankan beban hidup mereka terutama yang berkeluarga. - Bernama

Artikel Berkaitan: