KPDNHEP teruskan semula Kempen Beli Barangan Malaysia

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang dilancarkan pada Julai lalu diteruskan semula.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu diteruskan selepas hampir keseluruhan kawasan diisytiharkan tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

"KPDNHEP melihat perkembangan terbaharu ini sebagai peluang untuk membuka semula sektor perniagaan dan merancakkan aktiviti ekonomi domestik negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selain KBBM dan PJM, kesemua inisiatif dan program kementerian itu termasuk Program Jelajah Francais 2020 turut diteruskan.

"Selain itu, semua Pejabat KPDNHEP negeri akan menggerakkan inisiatif yang sama seperti Kempen Kembali Ke Sekolah 2021, program bantuan kepada mangsa bencana, program foodbank kepada siswa institusi pengajian tinggi (IPT) di samping program pemantauan dan pemeriksaan premis perniagaan," katanya.

Beliau berkata, kes-kes Tribunal Pengguna Malaysia yang tertangguh dan pelan tindakan juga telah disusun untuk dilaksanakan.

"KPDNHEP cukup berbangga apabila siri animasi, Upin dan Ipin-Barang Baik, Barang Kita (Episod 14) yang diterbitkan khas bagi mempromosikan KBBM dan PJM merekodkan lebih lima juta tontonan sejak mula disiarkan melalui platform YouTube, minggu lalu.

"Ia antara pendekatan inovatif pihak kementerian dalam mempromosikan inisiatif berkenaan di kalangan rakyat termasuk kanak-kanak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Alexander berkata, sokongan segenap lapisan amat penting dalam memastikan kejayaan semua program kerajaan amnya dan program KPDNHEP khususnya.

"Saya berharap rakyat dapat terus menyokong aktiviti ekonomi domestik negara di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar masyarakat memanfaatkan pelbagai kemudahan yang telah disediakan bagi memudahkan banyak proses dalam banyak sektor.

"Sebagai contoh, peniaga kini dengan mudah memohon untuk menjalankan jualan murah dengan mengisi maklumat yang diperlukan melalui aplikasi MySalesTracker dan pengguna pula boleh mendapatkan maklumat jualan murah di aplikasi tersebut sebelum keluar rumah.

"KPDNHEP akan terus membantu pengguna dan mempermudahkan urusan perniagaan dalam kita sama-sama mengharungi situasi sukar ketika ini.

"Kalau bukan kita, siapa lagi?" katanya.