X

Kindly register in order to view this article
!

Kata ketua juri, Misha menang mudah

A
A

MENEPATI ramalan ramai, Misha Omar sekali lagi membuktikan kehebatan vokalnya apabila diumumkan memenangi kategori Vokal Terbaik AJL33. Ia merupakan kemenangan kali ketiga Misha yang sebelum ini pernah menang kategori yang sama di AJL18 (2003) dan AJL19 (2004).

Persembahan Misha menerusi lagu Sampai Bila ternyata telah memaku seluruh penonton dengan lontaran vokalnya yang penuh dengan emosi dan cerita.

Mengulas tentang kenyataan ketua juri, Azmeer yang mengatakan Misha menang mudah dan meninggalkan jauh finalis lain untuk kategori vokal, kata Misha, dia hanya melakukan yang terbaik.

“Alhamdulillah sebagai seorang penyanyi saya cuba sampaikan sebaik mungkin agar apa yang dibawakan dalam lagu ini dapat menyentuh hati mereka yang mendengarnya.

“Bagi saya, sebagai penyanyi ia bukan hanya soal kemampuan mencapai nota-nota yang tinggi sahaja, tetapi juga tentang cara penyampaiannya yang harus ada energi dan perasaan yang dimasukkan.

“Setiap kali persembahan, itulah perkara yang selalu saya tekankan, kerana saya mahu menjadi pencerita kepada lagu-lagu yang saya nyanyikan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Misha turut merakamkan rasa terima kasihnya buat penyanyi Datuk Syafinaz Selamat yang banyak membantunya untuk tampil dengan persembahan vokal yang mantap.

“Sebenarnya bukan senang untuk tampil dengan persembahan vokal yang baik tanpa latihan dan persediaan yang secukupnya. Stamina kena jaga untuk energi, malah teknik juga kena betul selain elemen emosi yang kuat menyokong.

“Datuk Syafinaz banyak membantu saya sepanjang AJL33 ini. Malah pada saat-saat akhir pun, dia masih datang meluangkan masa bersama saya untuk memberi beberapa tip dan pesanan.

“Saya juga mendengar nyanyian rakan-rakan lain dan saya tahu vokal mereka sangat hebat. Namun ketakutan itu selalunya datang pada diri saya sendiri dan bukan orang lain. Jadi saya harus mengatasi si situ,” katanya yang turut menggunakan khidmat Dr. Norzizi Zulkifli sebagai pengarah persembahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus