Jururawat pula tampil dakwa jadi mangsa pendakwah selebriti

Pendakwah selebriti yang berusia 25 tahun itu semasa di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perintah lanjutan reman baru-baru ini.
Pendakwah selebriti yang berusia 25 tahun itu semasa di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perintah lanjutan reman baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lagi wanita tampil membuat laporan polis di sini semalam berhubung dakwaan kes seksual membabitkan seorang pendakwah selebriti.

Wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai jururawat swasta di Kuala Lumpur mendakwa menjadi mangsa pada Disember tahun lalu selepas mula berkenalan dengan suspek pada Mac 2018.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, susulan laporan yang dibuat wanita itu, setakat ini pihaknya telah menerima sembilan laporan polis.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan dan akan lihat dari semua sudut dengan mengumpul maklumat berkaitan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah selebriti direman lagi lima hari bantu siasatan kes rogol

Dua laporan kes seksual, pendakwah selebriti ditahan lagi

Polis jangka lebih ramai mangsa pendakwah selebriti tampil

"Polis akan menjalankan siasatan dengan adil dan semua maklumat yang diperoleh akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya modus operandi suspek, Noor Azam berkata, mangsa dan suspek berkenalan di media sosial sebelum berpura-pura mengajak mangsa keluar makan hingga dibawa pulang ke rumahnya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini masih dalam perintah reman sehingga Jumaat.

Semalam, suspek yang juga bekas peserta realiti keagamaan itu direman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis berhubung dua laporan polis dibuat terhadapnya di Petaling Jaya atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Polis Petaling Jaya sebelum ini menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul).

Polis daerah Petaling Jaya membuat permohonan reman ke atas suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dua laporan polis terhadap suspek pada 29 dan 30 November lalu.

Laporan polis pertama dibuat di IPD Petaling Jaya pada 29 November lalu oleh seorang wanita berusia 22 tahun yang juga pelajar kolej swasta atas dakwaan dicabul dan dipaksa melakukan seks oral oleh suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana di sini.

Laporan polis kedua dibuat pada 30 November lalu di Balai Polis Damansara oleh seorang guru wanita berusia 22 tahun atas dakwaan dirogol oleh suspek juga di sebuah rumah di Damansara Perdana.