Bandaraya Alor Setar kembali sesak

Kenderaan mula sesak di jambatan susur jalan Teluk Wan Jah menuju ke Aman Central.
Kenderaan mula sesak di jambatan susur jalan Teluk Wan Jah menuju ke Aman Central.
A
A
A

ALOR SETAR - Bandaraya Alor Setar kembali sesak dengan jangkaan pertambahan kenderaan dua kali ganda berbanding kebiasaan menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Jumlah kenderaan yang memasuki bandaraya ini semakin bertambah sejak Jumaat, dan dijangka terus meningkat sehingga Ahad depan.

Ramai yang mengambil peluang pulang bercuti ke kampung halaman sempena cuti musim perayaan dan persekolahan, yang bermula Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, pertambahan kenderaan memasuki kawasan bandar akan menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas dan pihaknya siap siaga membantu melancarkan aliran trafik.

“Skuad trafik untuk atasi kesesakan lalu lintas akan bertindak atas aduan orang ramai selain tinjauan di kawasan berisiko, semua anggota terlibat dengan Op Tahun Baharu Cina akan bantu melancarkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Menurutnya, antara kawasan sering mengalami kesesakan termasuk susur keluar tol Lebuhraya Utara dan Selatan, serta jalan raya menuju ke pusat bandar.

“Kesesakan hanya libatkan jalan-jalan tertentu antaranya berdekatan pusat bandar menuju ke susur keluar tol, Simpang Kuala serta Lebuhraya Darulaman menuju ke pusat beli belah Aman Central,” katanya.

Seong Lim turut menasihatkan pemandu agar lebih berhemah bagi mengelak berlakunya kemalangan selain menggunakan jalan alternatif sekiranya perlu.

Artikel Berkaitan:

“Semua pemandu hendaklah bertimbang rasa ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, pandulah secara berhati-hati dan berhemah. Anda juga dinasihatkan gunakan jalan alternatif elak diri memasuki kawasan sesak,” katanya.