Penuntut hampir hilang ingatan akibat dilanggar lari

Norazila (kiri) terpaksa berhenti kerja untuk menjaga segala urusan dan keperluan Muhammad Israf.
Norazila (kiri) terpaksa berhenti kerja untuk menjaga segala urusan dan keperluan Muhammad Israf.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang penuntut Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) kini hanya terlantar akibat menjadi mangsa langgar lari dalam kemalangan di Desa Rakyat di sini pada 3 November lalu.

Kemalangan pada jam 12 tengah malam itu berlaku semasa sebuah kereta dipandu seorang lelaki tiba-tiba membelok ke kanan sebelum merempuh Muhammad Israf Izzuddin Arbain, 17, yang menunggang motosikal.

Insiden itu mengakibatkan kaki dan pahanya patah selain mengalami kecederaan serius pada kepala dan dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Kecederaan itu juga mengakibatkan tempurung kepala anak sulung daripada dua beradik itu terpaksa dibuang dan ingatan hampir hilang sepenuhnya.

Kini, semua keperluan harian diuruskan ibunya, Norazila Adon, 46, yang terpaksa berhenti kerja kilang baru-baru ini untuk menjaganya.

Menurut Norazila, pada masa ini Muhammad Israf tidak boleh makan dan hanya minum susu khas melalui tiub pada bahagian bawah leher.

"Muhammad Israf juga tidak dapat bercakap kerana peti suaranya sudah rosak selain memorinya juga tidak kuat, kadang-kadang hanya ingat saya dan dan bapanya, Arbain Ramli, 48.

"Menurut doktor, kemungkinan untuk sembuh semula akan mengambil masa selain bergantung kepada Muhammad Israf sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Cahaya Masai di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Norazila berkata, Muhammad Israf hanya minum susu khas 800 gram untuk seminggu dengan harga RM75 dan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori tidak cukup menampung kos susu dan lampin anaknya itu.

Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Volunteer Pasir Gudang memberikan sumbangan lampin bagi meringankan beban keluarga Norazila.

Difahamkan, sehingga kini keluarga berkenaan masih tidak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal.

Sementara itu, Presiden Volunteer Pasir Gudang, Nurul Ain Zakaria berharap agar ada mana-mana pihak menyumbangkan susu khas dan lampin selain Muhammad Israf diberikan kad orang kurang upaya (OKU).

Bagi mereka yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berhubung Norazila (017-7905336) atau boleh terus melalui nombor akaun 3134-5830-9025 (Bank HSBC) atas nama Norazila.