X

Kindly register in order to view this article
!

'Inilah masanya kami balas jasa ibu'

Rohasliza (dua dari kiri) membantu ibunya memakai tudung yang turut ditemani kakaknya, Rohayu serta neneknya di rumahnya di Jubakar Pantai.
A
A

TUMPAT - Demi kasihnya terhadap ibu tercinta, dua beradik sanggup berhenti kerja semata-mata untuk mahu menjaga ‘syurga’ mereka yang sakit akibat terdapat darah beku di dalam kepala.

Rohasliza Mohd Nawi, 25, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Gua Musang mengambil keputusan itu setelah ibunya, Makesong Hamad, 60, sakit sejak Julai lalu.

Perkara sama turut dilakukan kakaknya, Rohayu, 28, yang bekerja di sebuah kedai buku di Shah Alam untuk terus kekal berada di kampung bagi menjaga ibunya sejak pulang dari Shah Alam ketika yang pulang ke Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan Mac lalu.

Sebelum ini Rohasliza bersama kakak, ibu dan ayahnya, Mohd Nawi Musa, 64, termasuk seorang adiknya tinggal di Felda Aring Gua Musang membuat keputusan untuk berpindah dan tinggal bersama nenek mereka, Mek Joh Che Mat, 70, di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat bagi memudahkan urusan rawatan susulan ibunya di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Menurutnya, ibunya sudah dua kali melakukan pembedahan bagi mengeluarkan darah beku dan kesihatan orang tuanya itu semakin lemah selepas menjalani pembedahan kedua pada penghujung Oktober lalu dan kini ibunya disahkan menghidap strok sebelah kanan tubuhnya.

“Ibu sudah tidak boleh berjalan, tangan kanan ibu pun dan lemah tak boleh buat apa-apa, jadi saya dan kakak kena uruskan keperluan ibu seperti kena mandikan, pakaikan baju, basuh berak ibu dan wangikan ibu.

“Saya tidak pernah mengeluh dan menyesal berhenti kerja. Saya buat semua ini kerana dia ibu yang melahirkan saya ke dunia, menjaga saya dari kecil sehingga besar. Inilah masa untuk saya balas jasa 'syurga' saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Jubakar Pantai semalam.

Di sebalik ujian itu Rohasliza juga beruntung kerana kesemua adik beradiknya sangat bertanggungjawab membantu dia dan kakaknya menjaga ibu serta adik bongsu mereka yang hidup dalam dunianya sendiri akibat gangguan penyakit misteri.

“Sudah berpuluh kali bawa adik berubat, namun keadaannya masih dia tidak berubah. Tidur berhari-hari dan tidak boleh menguruskan dirinya.

“Saya ada tujuh adik beradik dan kesemua mereka turut membantu dengan menghulurkan wang perbelanjaan keluarga selain duit hasil ayah sebagai peneroka sebanyak RM1,000 lebih sebulan,” katanya.

Mengulas lanjut, remaja tabah itu mengakui turut bersyukur kerana selain bantuan daripada ahli keluarganya, penduduk setempat juga membantu menghulurkan bantuan menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

"Kami sekurang-kurangnya memerlukan RM1,000 sebulan untuk perbelanjaan susu khas dan lampin pakai buang ibunya.

“Disebabkan itu juga kami baharu sahaja memohon bantuan dengan Jabatan Kebajikan Kelantan dua minggu lalu dan kini masih dalam proses untuk kelulusan. Insya -ALLAH dapat,” katanya.

Anak keenam dari tujuh beradik itu turut berterima kasih kepada Pengerusi Cempaka Merah Asnaf, Society Che Norhayati Mohamed yang sudi menghulurkan sumbangan selain keprihatinan Penghulu Mukim Jubakar Pantau, Ab Rashid Ngah yang menyalurkan bantuan berkala kepada keluarganya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun ibunya, Makesong Bank Simpanan Nasional (03202-41-00001550-3)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!