X

Kindly register in order to view this article
!

Berlumba dapatkan vaksin

A
A
SERANGAN Covid-19 menyebabkan keperluan kepada vaksin sangat mendesak kerana dianggap instrumen yang paling ampuh untuk mengawal jangkitan meskipun keberkesanannya masih dipersoal.

Terkini, terdapat lapan vaksin Covid-19 yang memasuki ujian klinikal fasa ketiga iaitu mRNA-1273 (Moderna); BNT162b2 (BioNTech, Pfizer, Fosun Pharma); CTII-nCoV (CanSino Biologics) dan Sputnik V (Gamaleya Research Institute) selain, AZD1222 (AstraZeneca, Universiti Oxford); CoronaVac (Sinovac Biotech) dan dua jenis inactivated vaccines (Sinopharm).

Kesemua 12 vaksin tersebut berada pada fasa tiga ujian klinikal yang telah diuji kepada 20,000 hingga 90,000 orang sukarelawan di seluruh dunia.

Vaksin Covid-19 Pfizer telah menunjukkan kesan yang sangat positif dengan 95 peratus keberkesanan untuk mencegah jangkitan, sesuai untuk semua peringkat umur. Moderna pula mengumumkan vaksin mereka 94.5 peratus berkesan, malah pemaju vaksin Rusia, Sputnik V turut melaporkan keberkesanan 92 peratus.

United Kingdom (UK) bakal menjadi negara pertama menggunakan vaksin Covid-19. Malaysia turut berhasrat mendapatkan akses kepada vaksin dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan.

Kerajaan menyasarkan menerima vaksin secara percuma seawal suku pertama tahun 2021. Bekalan 12.8 juta dos vaksin daripada syarikat Pfizer akan menampung keperluan imunisasi 20 peratus (6.4 juta) rakyat dengan penghantaran bekalan pertama satu juta dos pada suku pertama tahun depan.

Kerajaan turut memeterai perjanjian dengan Covax untuk mendapatkan vaksin bagi keperluan imunisasi 10 peratus lagi rakyat Malaysia. Susulan dua perjanjian itu, Malaysia dijangka mendapat akses vaksin untuk 30 peratus rakyat.

Kerajaan juga sedang berunding dengan pembekal seperti Sputnik V, Moderna dan Astrazeneca bagi mendapatkani 40 peratus lagi vaksin.

Pemberian vaksin akan dilakukan secara berperingkat dengan keutamaan kumpulan berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan dan warga emas.

Kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah serta individu yang mempunyai masalah sistem imun tidak akan diberikan vaksin, sebaliknya akan terlindung daripada wabak Covid-19 menerusi imuniti kelompok, yakni turut terlindung jika 70 peratus rakyat mempunyai perlindungan vaksin.

Walaupun keputusan ujian klinikal fasa ketiga belum diperoleh sepenuhnya, banyak negara telah membuat tempahan awal kepada syarikat pengeluar vaksin.

Tempahan yang diikuti pelaburan awal ini telah mendorong syarikat farmaseutikal mempercepat proses penyelidikan, ujian klinikal dan pengeluaran vaksin.

Menurut Pakar Kimia Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Bimo Ario Tijo, berkemungkinan vaksin yang diuji di lapangan tidak berkesan selama ujian klinikal.

Misalnya, ujian klinikal fasa ketiga vaksin AZD1222 terpaksa dihentikan serta-merta disebabkan seorang sukarelawan didapati menunjukkan simptom keradangan saraf tunjang. Malah, kebimbangan tetap wujud mengenai kemampuan virus SARS-CoV-2 bermutasi seterusnya menjejaskan keberkesanan vaksin yang dihasilkan.

Hakikatnya, vaksin semata-mata tidak akan mengakhiri pandemik Covid-19 kerana pengawasan berterusan masih diperlukan.

Justeru, kerajaan Malaysia tidak perlu terburu-buru memperolehi vaksin sebelum ujian klinikal fasa ketiga selesai sepenuhnya bagi memastikan vaksin berkenaan benar-benar berkesan dan selamat.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!