X

Kindly register in order to view this article
!

Ujian Hobin Jang Hobin

Barisan pemain Negeri Sembilan FC bakal diuji prestasi mereka hari ini. Foto: FB PBNS
A
A

PENGENDALI baharu Negeri Sembilan FC, K Devan mula mencatur langkah bagi mempersiapkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka bermula pada penghujung Februari tahun depan.

Menurut Devan, satu sesi penilaian akan diadakan hari ini bagi membolehkan beliau menilai pemain yang akan dikekalkan bersama skuad Hobin Jang Hobin itu musim depan.

“Esok (hari ini) kami akan adakan sesi penilaian, selepas itu dalam masa dua atau tiga hari, saya akan buat keputusan sama ada akan kekalkan pemain terbabit atau macam mana.

“Apabila sudah selesai dengan pemain sedia ada, kami akan fikir pula untuk pemain baharu yang akan mewakili pasukan Negeri Sembilan FC musim depan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Devan dianggap tidak asing lagi dalam arena bola sepak Negeri Sembilan apabila pernah mengemudi skuad Hobin Jang Hobin sebelum ini. Kali pertama, beliau dilantik sebagai ketua jurulatih adalah pada tahun 2004 hingga 2006.

Dalam tempoh itu, beliau berjaya membimbing Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Liga Super pada musim 2005/2006 serta membawa pasukan itu mara sehingga separuh akhir Piala FA dan final Piala Malaysia 2006.

Devan yang pernah melatih Selangor, Pulau Pinang, Felda United FC, Kelantan dan PJ City FC kemudiannya kembali ke Negeri Sembilan buat kali kedua pada tahun 2015, namun gagal meraih sebarang kejuaraan.

Dalam pada itu, ketika diajukan soalan mengenai kemungkinan Negeri Sembilan FC akan menyambar beberapa pemain berstatus bintang, Devan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan.

“Kita sedang mencari pemain dan belum lagi selesai... nama besar tak boleh beritahu lagi. Walaupun kita ada sasaran beberapa pemain tetapi ia masih belum muktamad. Apabila sudah muktamad nanti, pihak pengurusan akan buat pengumuman.," katanya.

Dalam masa sama, beliau percaya sasaran yang diletakkan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) kepada anak-anak buahnya untuk layak ke Liga Super pada musim 2022 adalah realistik.

“Sasaran itu diletakkan kepada saya ketika dilantik sebagai jurulatih pasukan. Kami akan cuba bekerja untuk mencapai objektif itu dengan kerjasama daripada pihak pengurusan,” ujarnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!