Skim subsidi baja: Kerajaan belum buat keputusan

Amiruddin (empat, kanan) bersama Phahrolrazi (empat, kiri) ketika melawat kilang Malaysian NPK Fertilizer di Gurun.
Amiruddin (empat, kanan) bersama Phahrolrazi (empat, kiri) ketika melawat kilang Malaysian NPK Fertilizer di Gurun.
A
A
A

GURUN - Kerajaan belum memutuskan sama ada melaksanakan tender terbuka bagi pembekalan baja menerusi skim subsidi baja padi yang mana tender itu sebelum ini diberi terus kepada kilang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Kedah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Nafas dan wakil petani.

Menurutnya, walaupun kerajaan PH mengamalkan konsep tender terbuka, namun terdapat pengecualian untuk kes-kes tertentu atas faktor keselamatan atau sebagainya.

“Kita belum putuskan sama ada pembekalan dibuat secara tender terbuka atau rundingan terus. Memang polisi PH adalah tender terbuka, namun bukan bermakna tiada langsung kemungkinan berlakunya anugerah terus kepada pembekal,” katanya, selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman.

Amiruddin berkata, terdapat pengecualian peraturan sekiranya ada keperluan dan hanya melibatkan kes tertentu.

"Contohnya, pembekalan peralatan pertahanan negara tiada tender terbuka atas faktor keselamatan, dan perlu diberikan secara terus kepada pembekal.

"Ini termasuk kes seperti pembekalan baja. Mungkin ini juga antara pengecualian yang akan kita lakukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan akan mengambil kira semua pandangan daripada pihak berkepentingan sebelum mengumumkan keputusan.

“Kita akan pastikan keputusan kelak tidak akan jejaskan golongan petani yang merupakan pemegang saham terbesar Nafas selain peka dengan musim penanaman padi 1/2019 yang akan bermula.

"Kita pastikan tanaman juga tidak akan terjejas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amiruddin berkata, kilang Malaysian NPK Fertilizer juga sedang berusaha meneroka potensi pasaran di luar negara memandangkan memiliki teknologi, kepakaran dan keupayaan menghasilkan produk berkualiti.

“Tiada kekangan untuk teroka sektor baharu seperti Kelapa Sawit, walaupun fokus kini adalah sektor padi. Untuk besarkan produktiviti pasti perlukan modal tambahan, aspek ini juga akan dikaji susulan ia berpotensi kembangkan pasaran,” katanya.

Amiruddin berkata, aspek lain yang dibincangkan termasuk strategi berkesan untuk mencapai sasaran kadar pengeluaran 70 peratus beras untuk tahap sara diri (SSL).

“Jika ada pengurangan dari segi input dalam meningkatkan produktiviti, pasti beri kesan pada sasaran SSL, kita akan perhalusi pelbagai aspek untuk pastikan kelestarian industri ini,” katanya.