Pertelagahan cabar agenda dakwah

A
A
A

BULAN Dakwah 2020 Yadim yang sedang berlangsung kini adalah satu kempen untuk menyemarakkan pelaksanaan dakwah menerusi Program Dakwah Negara.

Alhamdulillah, sejak hari pelancaran pada 3 Oktober 2020 lalu ia telah mencatat rekod sebanyak 1,628 program yang berjaya dilaksanakan di seluruh negara. Insya-ALLAH, sasaran 2,000 program menjelang 30 Disember 2020 akan berjaya dicapai.

Besar harapan kami menerusi kempen Bulan Dakwah 2020 ini, ia benar-benar berjaya melestarikan gerakan dakwah di negara bertuah ini. Akhirnya gerak kerja dakwah tidak lagi menjadi taboo dalam kalangan masyarakat dalam negara kita termasuklah daripada kalangan not yet Muslim.

Namun, kita mempunyai beberapa kekangan besar dalam usaha meningkatkan tempo kerancakan gerak kerja dakwah Islamiyah ini. Terutama apabila kita berdepan dengan perpecahan berasaskan sentimen politik dalam kalangan umat Islam.

Kerja dakwah dilihat makin mencabar di kala berdepan dengan situasi begini. Tempias sinis masyarakat terhadap pergolakan umat Islam hari ini turut menampar wajah gerakan dakwah.

Manakan tidak, selayaknya pemimpin menjadi contoh kepada masyarakat. Jika kita ingin masyarakat kita berada dalam keadaan harmoni dan tenteram, maka pemimpin sayugianya membina bi’ah atau suasana sedemikian.

Elakkan percakaran dan pertelingkahan yang tidak perlu. Banyak berbincang dan berlapang dada dengan semangat muafakat yang membawa kepada keberkatan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Juruskan politik anda untuk bina negara dan memperkasakan kesatuan masyarakat dengan satu sendi pemuafakatan yang utuh serta berlumba-lumba untuk menawarkan khidmat bakti kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ketidakstabilan politik negara hari ini bukan sahaja memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara, tetapi turut merencatkan kelestarian gerakan dakwah untuk menyampaikan risalah Islam yang murni kepada masyarakat, termasuklah kepada pihak yang belum menerima Islam.Penyatuan

Rata-rata mula memandang skeptikal kepada institusi agama dan dakwah yang turut dilihat gagal melahirkan pemimpin yang boleh menjadi contoh kepada rakyat dalam negara ini bahkan dilihat tidak berupaya untuk menyatukan umat Islam itu sendiri.

Maka bagaimanalah keindahan Islam itu mahu dihantar kepada pihak yang belum menerima Islam. Tentu sahaja mereka akan memulangkan kembali dengan nada sinis dan pesimis.

Masih belum terlambat, pemimpin umat Islam di negara ini pula rata-ratanya adalah berpendidikan tinggi untuk cepat mencari solusi penyatuan. Saya yakin semua tahu bahawa penyatuan itu manis buahnya. Tinggal lagi untuk mengait buah manis di pokok tinggi ini memerlukan pengorbanan.

Perlu sabar, lapang dada, jiwa yang tenang, akal yang jernih, fikiran yang positif, banyak berbincang, elakkan percaya kepada fitnah apatah lagi memberi peluang kepada fitnah itu berlegar dalam kalangan masyarakat.

Perlu berhemat dalam tindakan, termasuk bicara di hadapan awam atau media juga melarik tulisan bertinta di media sosial. Tidak semua isu dan perkara perlu diangkat ke muka buku.

Kenapa masih ada pemimpin yang bertelingkah sesama sendiri di dada akhbar dan muka buku? Ibarat suami dan isteri berkelahi di pekan sehari, tentulah buruk perangainya. Usahkan di pekan sehari, bertengkar suami isteri di hadapan anak-anak sahaja sudah dianggap tidak matang. Akhirnya kesemua pihak yang bertelingkah secara terbuka itu dilihat salah dan tidak memiliki akhlak yang mulia.

* Nasrudin Hassan ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Beliau akan menyumbang rencana untuk ruangan ini setiap bulan