UMNO akan terus pertahankan kerajaan PN Perak

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan) dan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said selesai menghadiri mesyuarat khas MKT UMNO yang diadakan di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur malam ini.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan) dan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said selesai menghadiri mesyuarat khas MKT UMNO yang diadakan di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur malam ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO memutuskan untuk terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat khas Biro Politik Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn di sini yang berakhir sebentar tadi.

"Mesyuarat MKT telah membincangkan mengenai senario politik negeri Perak. Mesyuarat memutuskan agar kerajaan PN Perak yang melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu terus dipertahankan," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti tersebut sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak sekiranya jajaran gabungan parti terdahulu tidak dapat diteruskan.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan di peringkat pimpinan Pusat dengan parti komponen PN dan PH berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, mesyuarat khas malam ini turut memutuskan bahawa Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 1,2 dan 3 Januari 2021.

"Ia diadakan secara serentak di 191 bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

"Untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bolehlah diadakan secara maya. Kehadiran adalah secukup korum iaitu satu perempat daripada jumlah wakil yang berhak hadir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pula akan diadakan pada 30 Januari 2021 dan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021.

Kedua-duanya akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dengan kehadiran yang terhad serta turut diadakan secara maya.

ARTIKEL BERKAITAN UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

'Jangan terlalu cepat rai penyingkiran saya'

Saarani hadir mesyuarat khas MT UMNO malam ini