Shahrel Fikri sah milik Selangor FC

Shahrel Fikri bakal menjadi sandaran baharu Selangor FC musim depan.
Shahrel Fikri bakal menjadi sandaran baharu Selangor FC musim depan.
A
A
A

Selepas pelbagai spekulasi timbul sejak beberapa minggu lalu, penyerang berbisa Perak dan skuad Harimau Malaya, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi kini sah menjadi milik Selangor FC.

Kehadiran Shahrel Fikri atau lebih terkenal dengan panggilan Eky sudah pasti menambah keampuhan Selangor FC di barisan serangan selepas mereka mengekalkan khidmat penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun.

Ketua Pengawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, penghijrahan Shahrel Fikri ke Selangor cukup menggembirakan barisan kejurulatihan yang diketuai pengendali baharu, Karsten Neitzel.

"Shahrel Fikri sudah membuktikan keupayaan dan ketajamannya apabila mencabar pemain asing dalam menjaringkan gol pada (saingan Liga Super) musim ini.

"Kami percaya dia boleh menjadi pemain yang lebih baik daripada prestasi semasanya selain menjadi penyerang penting untuk membawa lebih banyak kemenangan bagi Selangor dan juga skuad kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Di pentas Liga Super musim ini, Shahrel Fikri muncul penjaring kedua terbanyak apabila meledak 10 gol - ketinggalan dua gol di belakang Ifedayo yang memenangi anugerah Kasut Emas.

Dalam pada itu, Shahrel Fikri mengakui teruja dapat menyarung jersi Selangor FC selain berterima kasih kepada penyokong dan pengurusan The Bos Gaurus.

"Menyertai Selangor akan membuka lembaran baharu dalam karier saya dan saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu bersama pasukan Gergasi Merah.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ingin berterima kasih kepada pengurusan Selangor FC atas ruang dan peluang yang diberikan. Saya harap penyokong Selangor akan mengalu-alukan kedatangan saya," ujarnya.