X

Kindly register in order to view this article
!

Kanak-kanak Palestin buta sebelah mata angkara Israel

Eissa ketika dirawat di Hospital Hadassa di Baitulmaqdis pada Februari lalu. - Foto Agensi
A
A

TEL AVIV - Israel dengan selamba membersihkan tuduhan yang dikenakan ke atas polis mereka berhubung insiden seorang kanak-kanak Palestin kehilangan sebelah matanya kerana ditembak rejim Zionis pada Februari lalu.

Kejadian malang menimpa Malik Eissa, 9, itu ketika dia baru turun daripada bas sekolah dinaikinya di kawasan kejiranan Issawiya di Baitulmaqdis.

Kementerian Kehakiman Israel memaklumkan kononnya mereka telah melancarkan siasatan ke atas insiden itu, namun gagal memperoleh bukti mencukupi selepas menyoal siasat saksi, menilai rakaman video dan fakta lain untuk menghukum pelaku tidak berperikemanusiaan tersebut.

Menurut keluarganya, Eissa juga enggan ke sekolah akibat mata kirinya buta selain mengalami kecederaan fizikal dan psikologi yang serius.

“Anak saya menderita sakit kepala dan trauma yang berterusan, Keluarga kami menjadi mangsa ketidakadilan sebanyak dua kali iaitu apabila Eissa ditembak dan kini kes itu pula ditutup,” kata bapanya, Wael Issa semalam.

Dalam perkembangan lain, Tel Aviv meluluskan empat projek penempatan haram baharu di Tebing Barat dan merancang pembinaan 9,000 unit rumah di utara Baitulmaqdis ketika negara antarabangsa sedang memberi tumpuan terhadap isu nuklear Iran.

Rancangan perluasan penempatan haram Yahudi di Atarot, utara al-Quds itu pernah diumumkan beberapa tahun lalu, namun ditangguhkan kerana berdepan tekanan antarabangsa yang menolak projek tersebut di wilayah diduduki Israel pada tahun 1967.

Pelan itu bagaimanapun muncul semula pada Februari lalu apabila Kementerian Pengangkutan meluluskan cadangan kontroversi untuk memperluaskan jalur landasan kereta api daripada Tel Aviv ke Kota Lama Baitulmaqdis.

Akhir minggu lalu, Liga Arab mengulangi kenyataan menolak keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara’ Israel pada ulang tahun ketiga pengiktirafan kontroversi itu yang dibuat pada 2017.

Setiausaha Agung Liga Arab menegaskan Baitulmaqdis adakah sebahagian daripada wilayah Palestin dan turut menggesa penyelesaian dua negara terhadap konflik Israel-Palestin serta penubuhan Palestin sebagai sebuah negara merdeka dan al-Quds menjadi ibu negara mereka.

Pertubuhan itu turut menggesa Republik Czech supaya menarik balik keputusan mereka untuk membuka pejabat diplomatik di Baitulmaqdis seperti dilakukan Guatemala dan Paraguay yang mengikut jejak langkah Washington sebelum Asuncion membatalkannya selepas empat bulan.

Sebelum ini, Honduras juga menyatakan mahu memindahkan kedutaan mereka ke al-Quds pada akhir tahun 2020, malah Brazil serta Republik Dominica juga mempertimbangkan langkah sama. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!