MKT UMNO bincang usaha pembentukan kerajaan Perak

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini memfokuskan kepada usaha pembentukan kerajaan baharu Perak. Foto Fail Bernama
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini memfokuskan kepada usaha pembentukan kerajaan baharu Perak. Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini memfokuskan kepada usaha pembentukan kerajaan baharu Perak.

Mesyuarat diadakan di Menara Dato' Onn di sini bermula pada kira-kira pukul 8 malam dan dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti itu.

Antara yang kelihatan hadir ialah Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ahli-ahli MKT UMNO Datuk Seri Razali Ibrahim, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Jalaluddin Alias.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dikatakan antara calon Menteri Besar Perak daripada parti itu bagi menggantikan ADUN Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa di laman Twitter beliau, selain mesyuarat MKT UMNO malam ini, dua lagi mesyuarat iaitu Dewan Tertinggi BN dan mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional (MN), masing-masing akan diadakan esok dan lusa.

Media tempatan dan antarabangsa berkumpul sejak pukul 7 malam tadi bagi menantikan kehadiran pemimpin tertinggi, selain menunggu sekiranya ada sidang media. - Bernama

Artikel Berkaitan: