Covid-19: Pusat beli-belah Angsana JB ditutup sementara

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengarahkan pusat beli belah Angsana Johor Bahru di sini untuk menghentikan sementara operasi mereka bermula pukul 8 malam hari ini. - Foto Bernama
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengarahkan pusat beli belah Angsana Johor Bahru di sini untuk menghentikan sementara operasi mereka bermula pukul 8 malam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pusat beli-belah Angsana Johor Bahru di sini ditutup sementara bermula pukul 8 malam ini untuk kerja-kerja sanitasi susulan terdapat kes positif Covid-19 di bangunan berkenaan.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, arahan penutupan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) itu berkuat kuasa selama tujuh hari sehingga 14 Disember mengikut Subseksyen 18 (1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Arahan ini dibuat hasil penilaian pegawai JKNJ di lapangan petang tadi.

“Ia bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan selain bagi memberi ruang proses saringan dibuat terhadap pekerja-pekerja premis yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Dr Aman berkata, sebelum arahan dikeluarkan, beliau dimaklumkan terdapat beberapa premis di pusat beli-belah itu telah mengambil inisiatif menutup awal operasi mereka.

“Kebanyakan premis ini adalah yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat beli-belah berkenaan mendapati antara premis yang menutup awal operasi sejak 11 pagi tadi adalah kedai makanan, butik pakaian, kedai jam, kedai elektronik dan kasut.

Sebahagian daripada premis itu juga didapati telah menampal notis pemakluman pemberhentian sementara operasi di hadapan kedai masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, tular di media sosial dakwaan terdapat penularan kes Covid-19 di pusat beli-belah itu menyebabkan orang ramai mendesak pihak pengurusan menghentikan sementara operasi. - Bernama