X

Kindly register in order to view this article
!

Arab Saudi masih pembela nasib Palestin

Putera Turki menyampaikan ucapan pada forum keselamatan Asia Barat di Manama, Bahrain pada Ahad lalu. - Foto AFP
A
A

PERBALAHAN terbaharu antara Arab Saudi dengan Israel berlaku semasa satu dialog diadakan di Institut Kajian Strategik Antarabangsa di ibu kota Bahrain, Manama pada Ahad lalu selepas kedua-dua buah negara pada awalnya dikatakan akan menjalin hubungan diplomatik.

Bagaimanapun sesi dialog itu berakhir dengan perselisihan apabila topik mengenai penindasan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin mula dibincangkan.

Dalam dialog itu, Arab Saudi diwakili oleh bekas ketua perisikan dan duta negara itu ke Amerika Syarikat (AS) serta United Kingdom (UK), Putera Turki bin Faisal manakala Israel pula menampilkan Menteri Luarnya, Gabi Ashkenazi.

Putera Turki hadir dalam forum itu tetapi Ashkenazi mengambil bahagian dalam dialog itu dengan menggunakan sidang video secara langsung dari Baitulmuqaddis yang turut melibatkan Menteri Luar Bahrain, Abdullatif Al Zayani sebagai hos.

Dialog itu diadakan selepas Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjalinkan hubungan dengan Israel dan menandatangani Penjanjian Abraham yang mana Presiden AS, Donald Trump menjadi perantara di Washington pada September lalu.

Penduduk Palestin menuntut penubuhan sebuah negara yang bebas daripada pencerobohan Israel. - Foto AFP
Penduduk Palestin menuntut penubuhan sebuah negara yang bebas daripada pencerobohan Israel. - Foto AFP

Perjanjian itu kemudian menjadi sasaran kritikan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dengan menganggap tindakan menormalkan hubungan itu sebagai menikam tubuh belakang penduduknya.

Palestin kemudian memanggil pulang dua dutanya ke negara tersebut sebagai membantah keputusan tersebut tetapi dikatakan menghantar semula duta-duta berkenaan untuk bertugas di UAE dan Bahrain seperti dilaporkan agansi berita Palestin, Ma'an.

Bagaimanapun, dalam dialog di Manama itu, Arab Saudi memperjuangkan nasib penduduk Palestin yang dicengkam oleh pendudukan Israel sejak penubuhan negara Yahudi tersebut pada tahun 1948 sehingga kini.

Putera Turki yang merupakan anakanda kepada Almarhum Raja Faisal Al Saud turut mengkritik rejim Zionis itu dengan nada yang marah dalam dialog tersebut.

Beliau menuduh Israel umpama menipu negaranya sendiri apabila menganggap Israel sebagai sebuah negara kecil dan dikelilingi oleh pembunuh-pembunuh yang dahagakan darah penduduknya tetapi realitinya negara itu sendiri merupakan kuasa nuklear.

Putera Turki yang berumur 75 tahun dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi Arab Saudi itu turut menegaskan krisis Palestin dapat diselesaikan dengan adil hanya dengan kewujudan dua buah negara yang berasingan.

Dalam dialog itu, beliau secara terbuka menuduh Israel bertindak menghalau penduduk Palestin selain memusnahkan kampung-kampung mereka.

Tanpa berselindung, Putera Turki juga mengecam rejim Tel Aviv kerana menjadi 'penjajah Barat' yang terakhir di Asia Barat dan melaksanakan dasar tembok aparteid yang merujuk kepada pembinaan tembok di Tebing Barat yang memisahkan penduduk Palestin dengan Israel.

Kritikan pedas turut disuarakan oleh bekas ketua perisikan Arab Saudi kepada Israel dengan berkata: "Kerajaan Israel telah menahan ribuan penduduk di tanah yang mereka jajah dan memenjarakan mereka dalam kem-kem di bawah tuduhan ancaman keselamatan yang tidak kukuh."

Bagaimanapun, seperti lazimnya, Ashkenazi yang menjaga hal ehwal Israel dengan negara asing menyuarakan rasa kesalnya dengan komen yang dibuat oleh Putera Turki tetapi beliau tidak pula menyesali tentang pencerobohan rejim Tel Aviv di tanah Palestin.

Tidak cukup dengan kenyataan penafikan tindak-tanduk Israel di Palestin, beliau turut menggunakan Twitter untuk menyatakan penolakannya terhadap kenyataan Putera Turki dengan menyatakan era menyalahkan sesuatu pihak sudah berakhir di Asia Barat.

Perbalahan di Manama itu kelihatan seperti Israel tidak mahu menyalahkan negaranya sendiri berikutan krisis yang berlaku di Palestin.

Seperti tidak terpedaya dengan desakan untuk menjalin hubungan dengan Israel, Arab Saudi sekali lagi mendedahkan ia mengekalkan pendiriannya sejak sekian lama untuk menjalin hubungan dengan Tel Aviv seperti yang dicita-citakan oleh AS tetapi dengan syarat masalah di Palestin mesti diselesaikan terlebih dahulu.

Bahrain menganjurkan forum tentang keselamatan di Asia Barat selepas menjalinkan hubungan dengan Israel secara rasmi pada September lalu. - Foto AFP
Bahrain menganjurkan forum tentang keselamatan di Asia Barat selepas menjalinkan hubungan dengan Israel secara rasmi pada September lalu. - Foto AFP

Kenyataan itu diungkap oleh Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan di Manama pada Sabtu lalu sekali gus mengetepikan spekulasi yang bertiup kencang bahawa Riyadh akan mengikut jejak langkah UAE dan Bahrain dalam menjalin hubungan dengan Israel.

Putera Turki bukan sahaja mengecam Israel tetapi turut senada dengan Putera Faisal apabila menafikan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pernah bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman di bandar Neom, Jeddah pada 22 November lalu seperti dilaporkan media dan akhbar di Israel baru-baru ini.

Penafian itu dibuat menerusi satu temu ramah dengan stesen televisyen CNN.

Beliau lebih mempercayai penafian yang dibuat oleh kerajaan Arab Saudi tentang pertemuan itu berbanding dakwaan daripada seseorang seperti Netanyahu yang pernah dituduh di negaranya sebagai menipu penduduk Israel.

Berita tentang pertemuan rahsia antara Putera Mohammed dengan Netanyahu itu dikatakan dibocorkan oleh sumber-sumber AS dan Israel.

Bagaimanapun, menurut portal Middle East Eye, walaupun tidak mempunyai kedudukan penting dalam kerajaan, pendirian Putera Turki mengenai menormalkan hubungan dengan negara Yahudi itu adalah hampir sama dengan pandangan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!