RM14.58 bilion di bawah Penjana telah dibelanjakan: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM14.58 bilion atau 42 peratus daripada RM35 bilion yang diperuntukkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah dibelanjakan setakat 20 November 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, mengikut pecahan teras di bawah pelan tersebut, sebanyak RM7.15 bilion atau 54 peratus daripada jumlah keseluruhan RM13.2 bilion di bawah teras pertama telah dibelanjakan dan dimanfaatkan sejumlah 1.36 juta penerima.

“Bagi teras kedua yang bertujuan untuk melonjakkan perniagaan, sebanyak RM5.54 bilion atau 38 peratus daripada RM14.7 bilion telah dibelanjakan yang telah dimanfaatkan oleh lebih 40,000 perniagaan.

“Bagi teras ketiga yang bertujuan untuk merangsang ekonomi, sebanyak RM1.9 bilion atau 27 peratus daripada RM7.1 bilion telah dibelanjakan yang memberi manfaat kepada kira-kira 11.36 juta penerima,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang meminta jumlah sebenar yang telah dibelanjakan melalui program Penjana dan jumlah penerima bagi program tersebut.

Abdullah Sani juga ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menambah jumlah peruntukan kepada program ini berdasarkan pandemik Covid-19 yang dilihat belum ada kesudahan.

Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan kerangka inisiatif tambahan khas: Kita Prihatian bernilai RM10 bilion pada 23 September lepas yang merupakan kesinambungan kepada pakej Prihatin dan Penjana yang bertujuan meringankan beban rakyat, mengekalkan pekerjaan dan membantu perniagaan.

“Inisiatif tambahan ini disalurkan melalui mekanisme Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) sebanyak RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas PRIHATIN 2.0 (GKP 2.0) sebanyak RM600 juta.

Artikel Berkaitan:

“Ketiga-tiga kesinambungan inisiatif tersebut akan terus dapat membantu rakyat dan peniaga yang masih terjejas dalam fasa pemulihan tersebut,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lepas, beliau berkata Kementerian Kewangan turut mengumumkan pelbagai inisiatif tambahan bagi membantu rakyat, golongan peniaga kecil dan PKS mikro serta sektor ekonomi. - Bernama