X

Kindly register in order to view this article
!

Kedai dimasuki babi hutan disamak, ditutup sementara

Semalam Sinar Harian melaporkan suasana di pusat beli-belah Alamanda gempar seketika apabila dikejutkan dengan kehadiran seekor babi hutan.
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah lot kedai di pusat beli-belah Alamanda yang dimasuki seekor babi hutan tengah hari semalam ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan dan disamak berlandaskan hukum syarak.

Pihak pengurusan Alamanda menerusi satu kenyataan memaklumkan, proses berkenaan dikelolakan oleh pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut kenyataan itu, pakaian dan produk yang tercemar juga akan dilupuskan.

“Untuk memastikan kelancaran operasi, kedai tersebut akan ditutup sementara sehingga diberitahu kelak.

“Ruang legar dan kawasan lain yang dikenal pasti telah diceroboh oleh babi hutan terbabit turut dibersihkan dan disanitasi,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, bagaimanapun pusat beli-belah berkenaan akan terus dibuka dan beroperasi seperti biasa memandangkan kejadian tersebut berjaya dibendung seta-merta.

Menurutnya, pihak pengurusan sentiasa mengutamakan keselamatan dan ketenteraman pengunjung.

“Peniaga dan pekerja mengambil langkah-langkah terperinci untuk memastikan komuniti kami berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Gempar seketika semalam apabila seekor babi hutan menceroboh dalam kawasan pusat beli-belah melalui tempat letak kereta dan dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran.

Pengawal keselamatan pada mulanya cuba menghalau babi hutan tersebut namun ia masuk diri ke dalam sebuah kedai di tingkat bawah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa dihubungi bagi mengeluarkan babi hutan tersebut dari pusat beli-belah berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar babi masuk pusat beli-belah


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!