Pesara, penjawat awam antara tujuh ditahan seludup 120kg ketum

Daun ketum yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Keningau pada Rabu dan semalam. Gambar kecil: Shahrudin
Daun ketum yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Keningau pada Rabu dan semalam. Gambar kecil: Shahrudin
A
A
A

KENINGAU - Polis Keningau menahan tujuh individu termasuk pesara dan penjawat awam kerana disyaki memiliki 120 kilogram (kg) daun ketum dan tujuh liter air ketum dalam serbuan berasingan pada Rabu lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, serbuan pertama sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau di Kampung Sondoton pada Rabu lalu merampas tujuh liter air ketum yang telah diproses bersama 10kg daun ketum.

Menurutnya, turut ditahan tiga lelaki tempatan berusia antara 37 hingga 57 tahun dan salah seorang daripada mereka ialah pesara kerajaan.

"Susulan tangkapan itu membawa kepada serbuan kedua semalam selepas risikan di sebuah stesen minyak di Pekan Keningau.

"Polis berjaya mematahkan kegiatan pengedaran daun ketum selepas empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 39 tahun yang menaiki pacuan empat roda Isuzu Dmax ditahan. Salah seorang daripada mereka ialah penjawat awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu diisi dengan 11 plastik mengandungi 110kg daun ketum selain satu laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama 10 butir peluru," katanya.

Shahrudin berkata, jumlah keseluruhan rampasan ialah RM1,100 yang boleh menjana keuntungan sehingga hampir RM10,000 selepas diproses.

"Semua daun ketum yang dirampas itu diperoleh tumbuh liar dari kawasan hutan di pedalaman dan boleh menghasilkan sehingga 6,600 liter air ketum dan harga bagi 1.5 liter antara RM15 hingga RM20.

Artikel Berkaitan:

"Semua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.