Pecah masuk rumah kekasih untuk bayar e-hailing

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Tindakan seorang lelaki memecah masuk rumah teman wanitanya di Bandar Botanic Klang di sini mengundang padah apabila ditahan bersama seorang lagi individu semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki warga Indonesia tersebut ditahan bersama rakannya yang merupakan warga tempatan yang berusia 20-an.

"Perbuatan jenayah itu disedari oleh rakan serumah teman wanita kepada suspek berkenaan pada jam 12 tengah hari, Sabtu lalu.

"Suspek turut mengugut agar tidak memaklumkan kepada kekasihnya sekiranya enggan diapa-apakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Shamsul Amar berkata, mangsa kehilangan dua tabung serta wang tunai RM150, sejumlah matawang Indonesia dan kad pengenalan Indonesia serta power bank.

"Bertindak hasil maklumat, kita berjaya menahan kedua-dua suspek dalam tempoh kurang 24 jam di sebuah flat di Taman Sri Andalas di sini," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengakui mengambil wang sejumlah RM73 bagi membayar perkhidmatan aplikasi e-hailing.

"Kita turut merampas sebuah power bank dan sebungkus duit syiling bernilai RM50 dipercayai dicuri kedua suspek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.