Tujuh lelaki mengaku salah gaduh di Plaza Low Yat

Laporan Sinar Harian 4 Disember lalu.
Laporan Sinar Harian 4 Disember lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh lelaki termasuk seorang remaja yang tular di laman sosial baru-baru ini, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini melakukan gaduh gempar di sebuah pusat beli-belah kerana tertekan disebabkan sukar mendapatkan pelanggan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mereka ialah Haikal Izwaanfazeede Razak, 29; Muhammad Johan Perumal, 34; Muhammad Farid' Izzat Dzulkafli, 23; Muhammad Yadiy Na'im Dzulkafli, 27; Ismail Arif Haron, 31; Muhammad Dzulhakim Dzulkafli, 21; dan remaja lelaki di bawah 18 tahun selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 terhadap Haikal Izwaanfazeede, Muhammad Johan, Muhammad Farid' Izzat, Muhammad Yadiy, Ismail Arif dan Muhammad Dzulhakim serta memerintahkan keenam-enam OKS menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya mereka gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, mahkamah tidak menjatuhkan hukuman ke atas remaja lelaki bawah umur itu, sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membenarkan dia diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 8 Februari 2021 untuk sebutan kes itu.

Majistret Tawfiq Affandy turut menasihati semua OKS supaya tidak bertindak mengikut hati dan perasaan, kerana kejadian sebegini ini akan memalukan serta menjejaskan imej negara.

“Kejadian seperti ini akan menyebabkan pelancong takut, sepatutnya perkara ini perlu dielakkan dan kamu sepatutnya tinggalkan tempat itu, dan membuat laporan kepada pihak polis,” katanya.

Kesemua lelaki itu yang merupakan pekerja di pusat beli belah itu memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Salah seorang daripada OKS turut memberitahu mahkamah bahawa pergaduhan itu berlaku disebabkan perselisihan faham, termasuk tertekan kerana sukar untuk mendapatkan pelanggan semasa PKPB.

Artikel Berkaitan:

Mereka didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar dengan cara bergaduh di tempat awam hingga mengganggu ketenteraman awam di Plaza Low Yat, Jalan Bulan, Off Jalan Bukit Bintang di sini pada jam 5 petang, 4 Disember lalu, mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau didenda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, dengan mengambil kira kes seperti ini semakin meningkat dan kejadian itu berlaku di tempat awam.

Kesemua OKS yang masing-masing tidak diwakili peguam merayu hukuman denda, dengan alasan mereka menanggung keluarga, isteri dan anak-anak masih kecil.

Pada 4 Disember lalu, beberapa klip video tular di laman sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah pusat membeli belah dan berlanjutan ke dalam premis terbabit. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Rebut pelanggan punca gaduh di hadapan Plaza Low Yat

44 individu direman merusuh di hadapan Plaza Low Yat