X

Kindly register in order to view this article
!

Nora Anne mungkin meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum dijumpai

Nora Anne
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa remaja perempuan Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin berkemungkinan telah meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemukan.

Dua pakar perubatan forensik Dr Hanif Mahmud, 38, dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HJTS) dan Dr Siew Shue Feng, 50, dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), mendedahkan perkara itu pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne yang memasuki hari ke-21 hari ini.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos 2019 iaitu 10 hari selepas dia dilaporkan hilang daripada pusat peranginan di mana beliau dan keluarganya menetap, sebaik tiba di Malaysia pada 3 Ogos tahun lepas.

“Jangkaan masa kematian berdasarkan kepada bedah siasat berubah kira-kira dua ke tiga hari, tetapi kurang daripada empat hari. Pelbagai kecederaan telah ditemukan dalam pemeriksaan dalaman dan ia disebabkan oleh objek seperti ranting pokok, batu, pasir.

“Selaput simati masih dalam keadaan baik walaupun perubahan pereputan dan tidak ada kecederaan jelas pada luaran genitalia,” kata Dr Hanif semasa membacakan keterangan saksi pada prosiding di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazali Omar yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues sama ada bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat yang memasuki fasa awal mereput pada 14 Ogos menjejaskan dapatan untuk mencari punca kematian, Dr Hanif yang merupakan saksi ke-42 berkata, meskipun keadaan mayat berubah akibat pereputan, namun proses bedah siasat tidak menghadapi masalah untuk dijalankan.

Saksi memberitahu semasa tiba di lokasi Nora Anne ditemukan pada 13 Ogos, jam 4.44 petang, beliau melihat mayat berkenaan telah mengalami proses pereputan dengan kulit badan mengelupas dan berubah warna, selain dihurungi lalat dan serangga serta telah dimakan ulat.

Ahmad Sazali: Boleh saya cadangkan bahawa kecederaan pada tubuh mayat adalah selari dengan latar belakang di mana si mati dikatakan telah hilang di dalam hutan?

Dr Hanif: Melalui lawatan yang telah kami jalankan di lokasi di mana mayat ditemukan, saya berpendapat kecederaan pada si mati adalah konsisten dengan keadaan sekeliling di mana mayat dijumpai.

Sementara itu Dr Siew yang merupakan saksi ke-43 berkata, jika tubuh itu ditemui lebih daripada empat hari, keadaannya akan amat buruk terutamanya pada negara tropika seperti Malaysia.

"Jika anda lihat kepada gambar (simati) daripada polis, ia tidak lebih daripada empat hari, empat atau lima hari di negara tropika semua rosak, tetapi tubuh masih lagi segar dan malah ibu bapa masih boleh mengenal pasti jasad pada hari penemuan dan bedah siasat (dilakukan) pada hari kedua,” katanya.

Kedua-dua saksi juga bersetuju bahawa luka di tapak kaki Nora Anne adalah selari dengan kawasan remaja itu dikatakan hilang, yang diselaputi hutan.

Dr Hanif dan Dr Siew juga berkata, hasil bedah siasat mendapati stress (tekanan perasaan) dan kelaparan menjadi punca utama yang menyebabkan kematian remaja itu, yang mengakibatkan pengulseran duodenum, perforasi dan pendarahan usus.

Kedua-dua saksi yang ditanya sama ada kemungkinan terdapat serangan seksual ke atas mangsa berkata, dapatan hasil bedah siasat juga mendapati tiada serangan seksual ke atas mangsa, berdasarkan pemeriksaan di kemaluan yang mendapati tiada koyakan pada selaput dara.

Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos iaitu sehari selepas beliau dan keluarganya tiba di Malaysia, untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan Kuala Lumpur.

Pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas dia dilaporkan hilang, mayatnya ditemui berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan di mana beliau dan keluarganya menetap, susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan bahawa kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung esok. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!