Ku Nan masih boleh dituduh: SPRM

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor keluar dari bilik perbicaraan selepas mendengar sebutan kes rasuah satu juta, di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor keluar dari bilik perbicaraan selepas mendengar sebutan kes rasuah satu juta, di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masih boleh dituduh pada bila-bila masa.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataannya berkata, pendakwaan boleh dilakukan semula sekiranya diberi keizinan mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Keputusan melepas tanpa membebaskan ini tidak bermaksud beliau dibebaskan sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, pihak SPRM difahamkan terdapat perkembangan baharu yang telah dikemukakan oleh pihak tertuduh serta satu laporan dibuat terhadap seorang saksi.

"Kes ini yang memerlukan siasatan lanjut oleh SPRM," katanya.

Suruhanjaya itu berkata, pihaknya akan memulakan siasatan dengan perkembangan baharu tersebut dan mengemukakan semula kertas siasatan kepada AGC untuk pertimbangan setelah semuanya selesai.

"Namun begitu, terdapat satu lagi kes terhadap beliau yang masih menunggu keputusan dan tiada kena-mengena dengan keputusan mahkamah hari ini," katanya.

Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan DNAA terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang memaklumkan tidak mahu meneruskan kes tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN Kes rasuah RM1 juta: Ku Nan dilepas tanpa dibebaskan

Artikel Berkaitan:

Tengku Adnan,70, yang juga dikenali sebagai Ku Nan menghadapi pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon.

Eng Boon didenda RM1.5 juta setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Ku Nan.

Wang suapan itu didakwa didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Ku Nan sebagai dorongan untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd meningkatkan nisbah keluasan tanah untuk syarikat itu berhubung projek pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Selain itu, Ku Nan menghadapi tuduhan pilihan dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima wang RM1 juta untuk dirinya daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMBnya sedangkan beliau mengetahui bahawa Eng Boon, sebagai pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd, mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bermula pada 20 September 2019 dengan pihak pendakwaan telah memanggil dua saksi untuk memberi keterangan.