Merempit guna nombor plat palsu

Polis mendapati salah sebuah motosikal yang dirampas menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Polis mendapati salah sebuah motosikal yang dirampas menggunakan nombor pendaftaran palsu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki yang ditahan kerana merempit turut didapati memalsukan nombor pendaftaran motosikalnya awal pagi semalam.

Remaja berusia 17 tahun itu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan bermula jam 1.30 hingga 4 pagi bersama empat lagi rakannya di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) ketika melakukan aksi tunggangan berbahaya di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi yang diketuai Inspektor Solihi Shafie dari Unit Risikan dan Operasi JPST Kuala Lumpur mendapati motosikal jenis Honda Dash yang dinaiki remaja itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurutnya, semakan mendapati remaja yang sudah tidak bersekolah itu bekerja sebagai penghantar barang.

“Dalam operasi itu, kita turut menahan empat lelaki lagi yang turut melakukan aksi berbahaya termasuk superman, zig-zag dan meniarap.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 17 hingga 30 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua penunggang yang ditahan tidak mempunyai lesen memandu.

"Selain itu, beberapa kesalahan lain turut dikesan iaitu tidak menggunakan cermin sisi, tiada lampu belakang, menggunakan ekzos yang kuat dan tayar bersaiz kecil.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.