Campak dadah RM10.53 juta dalam laut elak diberkas

Abd Razak (kanan) menunjukkan dadah dirampas di Pulau Betong, Balik Pulau, pada sidang media di Ibu Pejabat APMM negeri di sini pagi tadi.
Abd Razak (kanan) menunjukkan dadah dirampas di Pulau Betong, Balik Pulau, pada sidang media di Ibu Pejabat APMM negeri di sini pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah bernilai RM10.53 juta yang dibawa masuk dari Indonesia menggunakan laluan laut di Pulau Betong, Balik Pulau di sini pada 3 Disember lalu.

Kejayaan itu dilakukan oleh sepasukan enam anggota dengan bot pemintas APMM negeri menerusi Ops Pertiwi yang melakukan pemeriksaan di perairan Teluk Kumbar hingga ke Gertak Sanggul kira-kira jam 8.20 malam itu.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot terbabit terserempak dengan sebuah bot rekreasi yang berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar 3.0 batu nautika Barat Daya Pulau Betong.

Menurutnya, suspek terdiri daripada dua lelaki cuba meloloskan diri dengan memandu bot secara berbahaya.

"Anggota kita terpaksa mengejar suspek dalam tempoh 30 minit sebelum mereka dilihat mencampakkan beberapa objek ke dalam laut dan bertindak terjun bagi cubaan meloloskan diri.

"Anggota kita bertindak pantas mengambil objek tersebut sebelum tenggelam dan hasil pemeriksaan di dalam lapan buah beg pakaian warna hitam menemui 240 paket dadah jenis methamphetamine manakala satu beg lagi berisi tujuh bungkus pil ekstasi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM negeri di sini pagi tadi.

Abd Razak berkata, anggaran berat dadah jenis methamphetamine adalah 240 kilogram (kg) manakala ekstasi dengan anggaran 9.3kg.

Beliau berkata, dua suspek yang ditangkap itu adalah lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30 hingga 30-an dilakukan selepas 16 jam operasi dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek telah diselamatkan nelayan bot pukat tunda dan nelayan pantai selepas terapung di lokasi berasingan di perairan berhampiran sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Siasatan lanjut masih lagi diteruskan dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.