Jika terasa hati, saya minta maaf: Sufian Suhaimi

Sufian Suhaimi. Foto: Sharifudin Ab Rahim
Sufian Suhaimi. Foto: Sharifudin Ab Rahim
A
A
A

PENYANYI Sufian Suhaimi meluahkan rasa terharu apabila persembahan di Anugerah Juara Lagu ke-33 pada Ahad mencuri perhatian sehingga dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagu popularnya, Di Matamu.

Rata-rata bersetuju dengan kemenangan itu yang disifatkan sebagai sebuah persembahan yang cukup menyentuh hati dan paling diingati, apatah lagi umum sering mengaitkan lagu tersebut dengan kisah kegagalan cintanya dengan seorang pelakon sebelum ini.

Apa yang menarik persembahan tersebut juga menjadi trending nombor satu apabila meraih jumlah tontonan lebih 1.4 juta dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

“Konsep persembahan yang dilakukan itu adalah berdasarkan penceritaan dalam lagu Di Matamu yang memang sedih.

“Ia tiada kaitan dengan sesiapa, sebalik hanya memenuhi penderitaannya agar apa yang ingin disampaikan menerusi lagu itu sampai kepada penonton.

“Sudah beberapa kali saya katakan lagu ini tiada kaitan dengan kisah putus tunang saya kerana ia terhasil sebelum kejadian itu berlaku, namun saya tidak boleh menghalang jika orang masih naik mengaitkan lagu ini dengan kisah tersebut,” tegasnya.

No Image Caption

Menurut Sufian lagi, konsep dramatik yang ditampilkan dalam persembahan tersebut bukan datang daripada dirinya semata-mata, tetapi banyak pihak yang terlibat dan berkongsi idea.

Artikel Berkaitan:

“Awalnya saya hanya beri fokus kepada susunan muzik lagu ini, selepas semuanya selesai barulah konsep persembahan itu timbul menerusi cadangan dan kerjasama stylist saya dengan team perancang perkahwinan yang sebelum ini terlibat dengan majlis perkahwinan Yuna.

“Ia adalah idea yang terhasil daripada interpretasi terhadap jalan cerita yang disampaikan dalam lagu tersebut dan bukan untuk mengaitkan dengan mana-mana pihak.

“Kalau ada yang terasa hati atau terguris, saya minta maaf. Ini hanyalah untuk persembahan dan penonton sukakannya. Siapa yang tak suka tu, boleh tengok persembahan lain,” katanya.

Mengulas tentang anggapan sesetengah pihak yang mengatakan dirinya cuba mengambil kesempatan apa yang berlaku, Sufian pantas menafikan.

“Saya tak rasa mengambil kesempatan, cuma apa yang berlaku itu seolah-olah ada timeline yang bersesuaian dengan apa kita buat ini.

“Walaupun saya katakan ia tidak berkaitan kisah peribadi saya, ia masih menjadi buah mulut orang dari mula ia dilancarkan dulu sehinggalah ke pentas AJL ini.

“Apa pun sekali lagi saya katakan, ia hanyalah konsep persembahan. Apa yang ditampilkan itu hanyalah penambah perisa untuk persembahan lagu di Matamu,” tegasnya.