Jururawat, pemandu kenderaan KKM maut nahas jalan raya

Keadaan kenderaan milik KKM dan lori tangki yang terbabit kemalangan di Jalan Pekan-Nenasi di sini, pagi tadi. - Foto ihsan JBPM Pahang
Keadaan kenderaan milik KKM dan lori tangki yang terbabit kemalangan di Jalan Pekan-Nenasi di sini, pagi tadi. - Foto ihsan JBPM Pahang
A
A
A

PEKAN - [DIKEMASKINI] Seorang jururawat dan pemandu kenderaan pacuan empat roda dari Pejabat Kesihatan Daerah Pekan maut selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 32, Jalan Pekan-Nenasi di sini pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.20 pagi itu, pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux, Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan seorang penumpangnya, Julayha Kudus, 39, iaitu merupakan seorang jururawat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Turut berada dalam kenderaan itu iaitu pegawai perubatan, Muhd Ikhwan Ramlee, 29, pula dilaporkan cedera di bahagian kepala dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, pemandu kenderaan jenis Perodua Myvi, Azlida Mohamad Ramli, 41, dari Rompin bersama anak perempuan berusia lima tahun cedera manakala anak lelakinya berusia 12 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggota bomba dari BBP Nenasi melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa kemalangan melibatkan kenderaan KKM dan lori tangki di Jalan Pekan-Nenasi di sini, pagi tadi. - Foto ihsan JBPM Pahang
Anggota bomba dari BBP Nenasi melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa kemalangan melibatkan kenderaan KKM dan lori tangki di Jalan Pekan-Nenasi di sini, pagi tadi. - Foto ihsan JBPM Pahang

Menurutnya, pemandu lori tangki berusia 34 tahun juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati lori tangki tanpa muatan itu dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Kuantan.

Artikel Berkaitan:

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kereta serta kenderaan milik KKM yang dinaiki mangsa," katanya.

Mohd Razli berkata, akibat kejadian itu, dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, tujuh anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi bersama sebuah jentera pemadam (FRT), ambulans perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi bomba mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori tangki, kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Terdapat mangsa lelaki dan seorang wanita telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala empat yang lain cedera," katanya.

Anuar berkata, pasukan EMRS memberikan bantuan rawatan kepada mangsa yang cedera sebelum dihantar ke Pusat Kesihatan Nenasi untuk rawatan lanjut manakala dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.