Kerajaan PN tiada hasrat laksana semula GST

Mohd Shahar ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini
Mohd Shahar ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berhasrat untuk melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu menjaga kesihatan rakyat, menjaga kelangsungan ekonomi dan memastikan ketahanan ekonomi.

“Kita akan kaji semua itu dan kita lihat dalam Belanjawan (2021), kita banyak tumpuan kepada langkah lain bagi kurangkan ketirisan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada ketidakstabilan negara ketika ini maka kerajaan bercadang melaksanakan GST tahun hadapan.

Mengulas lanjut Shahar berkata, kerajaan komited untuk memastikan pembiayaan semula hutang negara dilaksanakan secara teratur mengikut jadual.

Beliau berkata, dalam situasi krisis pandemik Covid-19 yang masih berlarutan ini, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi terutamanya bagi memelihara kesejahteraan rakyat dan menyokong aktiviti perniagaan.

Menurutnya, setelah ekonomi kembali pulih, kerajaan akan kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam usaha memastikan paras pendedahan hutang dan liabiliti kewangan kerajaan persekutuan kekal terkawal dan terurus.

“Langkah tersebut termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta peningkatan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Oleh yang demikian, keperluan pinjaman kerajaan akan dapat dikurangkan dan seterusnya ini akan dapat mengawal pendedahan hutang dan liabiliti kewangan kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pada ketika ini hutang kerajaan Persekutuan pada akhir September 2020 ialah sebanyak RM874.3 bilion atau 60.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menurutnya, berdasarkan pengiraan had statutori, (Akta 275 Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Akta 637 Akta Pinjaman (Tempatan)1959) nisbah hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

"Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) baharu mencatat 56.6 peratus daripada KDNK iaitu kurang daripada had 60 peratus yang baru ditetapkan (Akta 830 Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan (Penyakit Koronavirus 2019 Covid-19).

“Dengan mengambil kira kesemua tanggungan sedia ada, secara keseluruhannya pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan berjumlah RM1,257 bilion atau 87.3 peratus daripada KDNK pada akhir September 2020," katanya.