Berhenti bercakaran, wujudkan senario galak rakyat untuk mengundi

Rosli Abdul Jabar
Rosli Abdul Jabar
A
A
A

KUANTAN - Pemimpin politik sepatutnya berusaha memberi kesedaran dengan mewujudkan senario yang dapat membangkitkan semangat dan rasa tanggungjawab rakyat untuk keluar mengundi bagi memilih pemimpin yang akan mewakili mereka.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, rakyat mengundi kerana impikan sebuah keharmonian bernegara tetapi sekiranya pemimpin sibuk bercakaran, kertas undi yang dipangkah seolah -olah hanya sekeping tiket untuk melihat perlawanan gusti.

Menurutnya, rakyat inginkan pembelaan, pemerintahan yang harmoni dan kegembiraan bernegara, justeru senario politik bercakaran hanya akan menyebabkan rakyat bosan dengan situasi politik di negara ini.

"Apakah seorang anak akan tenang bila melihat ibu bapa mereka bergaduh? Begitu juga dengan rakyat. Siapa lagi yang boleh mereka harapkan untuk memimpin sedangkan tangan yang sepatutnya memimpin mereka sedang menggenggam penumbuk.

"Senario yang sangat membosankan ini boleh menyebabkan rakyat tidak lagi pedulikan politik. Keadaan ini sangat merbahaya dan akan memberi kesan kepada keputusan politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Rosli berkata, bagi rakyat, pemimpin yang bermasalah tidak boleh menyelesaikan masalah mereka.

"Macam mana nak selesai masalah rakyat kalau masalah sendiri pun tak selesai," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang DUN Perak tidak dapat diteruskan tanpa MB, 4 Exco

Artikel Berkaitan:

UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

Mengulas lanjut, Rosli berkata, isu itu perlu diberi perhatian bagi memastikan semua rakyat yang layak mengundi tampil menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Setakat ini peratus pengundi Melayu yang mengundi masih rendah berbanding bukan Melayu. Kesedaran tentang kepentingan mengundi juga kurang.

"Tahap kesedaran agak berbeza antara Melayu dan bukan Melayu sedangkan peratus akan melahirkan angka. Kemenangan dalam sistem demokrasi ditentukan oleh angka tertinggi walaupun dengan kelebihan satu undi.

"Kumpulan yang sedikit boleh mengalahkan kumpulan yang banyak jika peratus kumpulan sedikit lebih tinggi keluar mengundi berbanding kumpulan yang banyak tetapi peratus keluar mengundinya terlalu rendah," katanya.

Tambah beliau, analisa PRU14 mendapati banyak kerusi majoriti Melayu kalah tipis disebabkan peratus keluar mengundi Melayu lebih rendah berbanding minoriti.

"Oleh itu pemimpin bukan sahaja perlu berikan kesedaran tapi mesti mewujudkan satu senario yang dapat menyungguh dan menggembirakan rakyat untuk keluar mengundi kelak," katanya.