Revolusi pertanian melalui teknologi dron

No Image Caption
A
A
A

MENGASINGKAN antara kepakaran teknologi terkini dengan alam sekitar adalah tindakan yang cukup merugikan. Mungkin ramai yang tidak terfikir cara bagaimana ‘besi’ boleh diasimilasikan dengan flora dan fauna sekeliling kita.

Tapi inilah yang cuba diketengahkan dalam Revolusi Industri 4.0 atau lebih terkenal dengan istilah IR4.0 dalam dan luar negara. Peredaran revolusi dalam ketamadunan manusia telah mengajar kita banyak perkara pelik dan dianggap mustahil menjadi sebuah norma baharu untuk kehidupan yang lebih bermutu tinggi.

Contoh yang mudah difahami rakyat kebanyakan adalah mengenai penggunaan teknologi dron dalam bidang pertanian. Ia sebenarnya makin mendapat tempat di hati para petani di negara kita ini.

Hasrat pihak kerajaan sekarang adalah melahirkan para petani moden yang tidak lagi menggunakan cangkul, kerbau dan lain-lain amalan tradisional, sebaliknya negara kita ingin melahirkan golongan petani moden yang lebih efektif.

Petani moden yang dimaksudkan adalah perkaitan antara tenaga kerja petani dengan penggunaan teknologi terkini seperti dron. Ia bertujuan untuk memastikan kualiti dan kuantiti hasil tuaian akan berlipat kali ganda berbanding ketika menggunakan kaedah lama.

Istilah petani moden dengan menjadikan alat-alat teknologi seperti dron ini bukan sahaja terhad kepada petani, malah ia juga melibatkan nelayan, penternak dan usahawan tani.

Misalnya, dron digunakan untuk menyiram tanaman, menabur anak benih, menyebar racun serangga, mengukur kapasiti kawasan, menganalisis keadaan air di lautan, memantau keadaan cuaca di persisir pantai dan bermacam lagi kepelbagaian penggunaannya.

Dalam hal ini, bukan sahaja Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa memandang serius transformasi ini, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi juga pernah menyatakan kerajaan sentiasa berusaha memperluaskan inovasi dan penggunaan teknologi baharu bagi memperkasa serta meningkatkan produktiviti sektor pertanian, sekali gus meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, dunia juga berhadapan dengan krisis menghasilkan makanan yang cukup bagi menjamin kelangsungan hidup manusia yang berkualiti. Permintaan peringkat global ini dijangka tumbuh hampir 50 peratus dalam tempoh 40 tahun akan datang.

Apatah lagi perubahan iklim global yang semakin ekstrem, dan jumlah penduduk global juga makin bertambah dari hari ke hari. Senario ini akan memberi impak besar kepada sektor pertanian di mana-mana negara sekali pun.

Justeru, pada ketika inilah teknologi dron dapat memodenkan industri pertanian supaya memenuhi permintaan masa depan, dan menyelesaikan krisis makanan untuk kehidupan manusia.

Dron membantu petani sebelum musim penanaman bermula menganalisis keadaan ladang. Teknologi ini berupaya memetakan keadaan ladang dalam bentuk imej tiga dimensi (3D) dan memberi gambaran berimej mengenai kawasan bermasalah.

Hasil daripada data yang diperoleh, seseorang petani itu mampu menggunakannya bagi menentukan pola penanaman benih secara maksimum, juga bagi mereka yang menjadi nelayan dan penternak.

Penggunaan dron juga diakui dapat mengesan tanaman dijangkiti penyakit 10 hari lebih awal sebelum dapat dilihat dengan mata kasar menggunakan kamera inframerah. Kamera yang ada pada dron itu mampu membuatkan para petani melihat kehadiran atau ketiadaan kulat dan bakteria dalam tumbuhan lebih awal berbanding kaedah lama.

Jika para petani kita masih mengekalkan cara lama, sudah tentu para petani akan mengalami pelbagai kerugian berganda kerana mengetahui sebarang jangkitan pada tanaman di saat-saat akhir. Ini berisiko tinggi berjangkit ke tanaman lain.

Tidak mampu nafikan, penggunaan dron dalam sektor pertanian bukan sahaja dapat mengeluarkan hasil tanaman lebih baik, malah dapat menjimatkan masa dan tenaga para petani. Ini sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda untuk menceburi bidang pertanian moden.

Kesimpulannya, penggunaan teknologi dron dalam sektor pertanian bukan sahaja sekadar mengikut ‘trend’ revolusi, sebaliknya ia lebih kepada kewujudan minat dalam kalangan orang muda, meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian.

Mungkin sebelum ini ramai golongan anak muda tidak gemar menceburi bidang pertanian kerana kotor dan tidak kemas, tetapi dengan pengembelingan teknologi dron dan pertanian, tidak mustahil ia mampu menarik minat mereka yang berusia muda.

*Sarfarizmal Md Saad ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA)