Perak buka peluang pemaju beli kuota Bumiputera

Ahmad Faizal (kanan) menyempurnakan gimik perasmian projek Pembangunan Bersepadu Lestari IUS @Seri Iskandar, hari ini.
A
A

SERI ISKANDAR - Pemaju perumahan di Perak diberi peluang membeli kuota Bumiputera daripada kerajaan bagi unit-unit yang tidak terjual khususnya di kawasan penempatan bukan majoriti Bumiputera.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, cadangan itu bagi membolehkan kerajaan menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menggunakan hasil bayaran diterima untuk tujuan pembangunan Rumah Perakku yang berharga antara RM20,000 hingga RM40,000 di lain-lain kawasan.

Menurutnya, hasil penelitian yang dibuat, kuota yang diperuntukkan di sesetengah kawasan, meskipun diletakkan pada peratus yang rendah, masih gagal dipenuhi berikutan keengganan kumpulan Bumiputera membeli.

"Ini satu polisi yang kita boleh buat secara serius, ia satu keputusan sedikit berani kerana mengambil kira lot Bumiputera yang tidak berapa orang Melayu nak duduk atas sebab-sebab tertentu.

"Katakanlah 20 peratus daripada pembangunan rumah perlu diperuntukkan kepada Bumiputera, maka pemaju boleh membayar nilai 20 peratus itu dengan meletakkannya dalam kos pembangunan.

Ahmad Faizal bersama Pengerusi Eksekutif Team Keris Berhad, Datuk Lee Seng Hee dan dan isteri yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif Team Keris Berhad, Datin Irene Lee ketika meninjau keadaan rumah dibawah projek Pembangunan Bersepadu Lestari IUS @Seri Iskandar, hari ini.
Ahmad Faizal bersama Pengerusi Eksekutif Team Keris Berhad, Datuk Lee Seng Hee dan dan isteri yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif Team Keris Berhad, Datin Irene Lee ketika meninjau keadaan rumah dibawah projek Pembangunan Bersepadu Lestari IUS @Seri Iskandar, hari ini.

"Jadi kita benarkan pemaju membeli dengan syarat yang kita nakkan itu dan kemudian kerajaan boleh buka tanah di kawasan-kawasan lain bagi tujuan bina rumah untuk rakyat memerlukan khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40)," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian projek Pembangunan Bersepadu Lestari Iskandar University Square (IUS)@Seri Iskandar, hari ini.

Beliau berkata, menerusi Dasar Perumahan Baru Perak yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, peruntukan kuota Bumiputera akan ditetapkan berdasarkan kesesuaian keadaan setempat.

Katanya, bagi sesetengah kawasan bandar Ipoh seperti di Bercham, pemaju terpaksa menunggu hampir dua tahun bagi tujuan pelepasan kuota dan melalui beberapa proses seperti pengiklanan di surat khabar sedangkan dalam tempoh berkenaan keadaan rumah sudah rosak.

"Menerusi persidangan bersama LPHP dua bulan lalu, kita membuat keputusan bahawa kuota Bumiputera ini dibuat mengikut lokasi dan ia tentunya bersesuaian dengan keadaan setempat.

"Seperti projek Lestari IUS ini telah menetapkan kuota sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan unit, tetapi kita jangkakan pemilikan oleh Bumiputera melangkaui 80 peratus berdasarkan faktor penempatannya," katanya.

Projek perumahan baru dimajukan oleh anak syarikat Team Keris Berhad, Antero Harapan Sdn Bhd itu menyediakan 600 unit rumah dengan tawaran harga dari RM199,500 untuk Bumiputera atau RM210,000 untuk unit terbuka dengan pilihan dari komponen rumah satu tingkat, satu setengah tingkat dan dua tingkat.

Fasa satu sebanyak 175 unit rumah sedang dalam pembinaan dan Seri Iskandar dipilih atas potensi lokasi, kepadatan penduduk yang majoritinya Bumiputera.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia