X

Kindly register in order to view this article
!

Kastam Sabah rampas dadah lebih RM1.2 juta pada November

Abdullah (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas JKDM Sabah pada November lalu pada sidang akhbar hari ini.
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas dadah bernilai lebih RM1.2 juta dalam tiga siri rampasan pada bulan lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, kejayaan ini diperoleh daripada Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) yang sentiasa komited menjalankan tugas dalam membendung penyeludupan dadah ke negeri ini.

"Rampasan pertama dibuat kira-kira jam 1 tengah hari pada 10 November lalu, apabila Pasukan Operasi Kastam melalui Operasi Control Delivery menahan dan menyita beberapa bungkusan kotak selepas tiada tuntutan dibuat terhadap barangan itu.

"Hasil pemeriksaan dengan melakukan imbasan menggunakan mesin pengimbas di salah sebuah gudang berlesen mendapati bungkusan itu disyaki mengandungi hablur jernih dadah jenis methamphetamine dengan berat kira-kira 30 kilogram (kg) dan nilai dianggarkan sebanyak RM1.2 juta," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah menunjukkan dadah yang berjaya dirampas JKDM Sabah pada November lalu.
Abdullah menunjukkan dadah yang berjaya dirampas JKDM Sabah pada November lalu.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, modus operandi kes ini adalah dengan mengisi dadah jenis methamphetamine ke dalam plastik lut sinar sebelum diisi ke dalam plastik jenama minuman.

"Dadah itu yang kemudiannya dimasukkan ke dalam bungkusan kotak bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) dan 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 15 kali," katanya.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, kes kedua pula pada 25 November lalu iaitu kira-kira jam 2.30 petang apabila sepasukan anggota kastam menyerbu sebuah premis yang terletak di Jalan Tuaran, Inanam.

"Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun ditahan dan menyita beberapa barang kes termasuk sebuah kereta mewah model Mercedes Benz yang dianggarkan bernilai RM60,000.

"Kes ini diperoleh hasil pemeriksaan kargo dan usaha pengesanan Anjing Pengesan Dadah (APD) pada 20 November lalu dan hasil pemeriksaan terhadap dua bungkusan parcel mengandungi bahan terlarang yang disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 2.898 kg yang dianggarkan bernilai RM5,216.40," katanya.

Sementara itu, kes ketiga pula, Abdullah berkata, rampasan dadah dilakukan pada 30 November lalu membabitkan bungkusan parcel yang disyaki mengandungi dadah jenis ganja selepas percel itu tidak dituntut.

"Hasil pemeriksaan lanjut, didapati penama di atas 'consignment note' yang digunakan sebagai penerima disyaki serupa dengan dokumen pengenalan diri bagi kes kedua dan disyaki berkaitan dengan perolehan kes kedua di mana suspek gagal menuntut parcel.

"Jenis dadah yang diperoleh dalam kes ini turut disyaki dadah jenis ganja dengan berat dianggarkan sebanyak 2.874 kg dan anggaran nilai lebih kurang RM5,173.20.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Terdahulu, Abdullah memaklumkan sejak awal Januari sehingga kini, JKDM Sabah berjaya merampas sebanyak 39kg methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM5.56 juta, ganja seberat 20.34 kg dengan nilai anggaran RM37,142.82, ketamin seberat 0.8kg dengan nilai dianggarkan sebanyak RM40,000.

"Selain itu, turut dirampas dadah jenis ketum dan biji benih ganja dianggarkan bernilai RM3,360 dan sepanjang perolehan ini seramai 11 orang telah dihadapkan ke mahkamah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!