Kerajaan sasar 70 peratus rakyat terima Vaksin Covid-19 tahun depan

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia meletakkan sasaran 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit Covid-19 pada 2021.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehingga kini, Malaysia telah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan menerima bekalan vaksin sebanyak 30 peratus daripada jumlah populasi negara.

Menurutnya, perjanjian pertama adalah bersama COVAX Facility melalui Optional Purchase Arrangement ditandatangani pada 23 November lalu yang menjamin bekalan vaksin sebanyak 10 peratus populasi negara.

"Manakala perjanjian kedua pula adalah perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer dimeterai pada 24 November bagi mendapatkan bekalan vaksin sebanyak 20 peratus daripada populasi negara (12.8 juta dos).

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 percuma kepada rakyat Malaysia: PM

6.4 juta rakyat Malaysia bakal terima vaksin Covid-19: PM

"Bagi mencapai baki sasaran sebanyak 40 peratus lagi, kerajaan masih dalam proses perbincangan dan rundingan bersama syarikat-syarikat farmaseutikal pembangun vaksin Covid-19 yang lain," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan status terkini penyediaan vaksin Covid-19 bagi Malaysia dan bilakah ia dijangka mula diberi kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khairy berkata, bagi tujuan imunisasi kepada rakyat pula, kerajaan menyasarkan tempoh suku tahun pertama 2021 bagi memperoleh wajaran pertama bekalan vaksin Covid-19.

"Suka ditegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin.

"Keputusan akhir bagi penggunaan sesuatu vaksin di Malaysia hanya akan dibuat selepas melalui proses pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan," katanya.