Kluster terbesar di Terengganu ditamatkan semalam

Kluster Covid-19 terbesar pernah dilaporkan di Terengganu iaitu Kluster Makekar melibatkan dua kumpulan kes dengan jumlah 62 kes ditamatkan semalam. - Foto 123RF
Kluster Covid-19 terbesar pernah dilaporkan di Terengganu iaitu Kluster Makekar melibatkan dua kumpulan kes dengan jumlah 62 kes ditamatkan semalam. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kluster Covid-19 terbesar pernah dilaporkan di Terengganu iaitu Kluster Makekar yang melibatkan dua kumpulan kes dengan jumlah 62 kes dilaporkan bermula 26 Oktober lalu di Terengganu ditamatkan semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes terakhir dilaporkan melibatkan kluster itu pada 8 November lalu.

“Kluster ini bukan sahaja unik dari segi nama, ia juga unik kerana melibatkan dua kumpulan kes iaitu kumpulan kes di komuniti Rasau dan kumpulan kes di tempat kerja.

“Kluster ini menjadikan Mukim Rasau dan gugusan Felda Kerteh di Terengganu terkenal kerana menjadi zon jingga dan akhirnya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 7 November lalu,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, semalam.

Beliau berkata, penamatan kluster itu hasil usaha semua pihak yang bertungkus-lumus menjadikan kawasan itu sebagai zon hijau pada 22 November lalu iaitu pada tarikh sama pengumuman penamatan PKPB di Terengganu.

“Dedikasi dan komitmen semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pemimpin setempat serta kepatuhan penduduk Rasau dan gugusan Felda Kerteh juga menjadi antara sebab kluster ini dapat dikawal dengan cepat.

“Tidak lupa juga untuk seluruh pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Dungun sendiri yang terlibat secara langsung bertungkus-lumus bekerja keras untuk mengawal wabak ini. Kita harap tidak bertemu lagi kluster begini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, JKNT merekodkan pertambahan satu kes baharu semalam melibatkan kes import B (rentas negeri) di mukim Seberang Takir.

Artikel Berkaitan:

Ia menjadikan terdapat empat kes Covid-19 aktif di Terengganu setakat ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 239 kes.

Kes berkenaan melibatkan seorang petugas barisan hadapan yang baru pulang dari Sabah pada 4 Disember lalu dan terus dimasukkan ke pusat kuarantin sebaik tiba di Terengganu.

Ujian saringan terhadapnya dijalankan pada 5 Disember lalu dan keputusan ujian didapati positif pada 6 Disember dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan dan pengasingan.

Kesemua empat kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu (tiga kes) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (satu kes).