Mesingan dikawal satelit tembak saintis nuklear Iran

Gambar fail menunjukkan kereta yang dinaiki saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh dalam kejadian pembunuhannya di sebuah lebuh raya di luar Teheran pada 27 November lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kereta yang dinaiki saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh dalam kejadian pembunuhannya di sebuah lebuh raya di luar Teheran pada 27 November lalu. - Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Mesingan yang dikawal oleh satelit digunakan dalam kejadian pembunuhan seorang saintis nuklear terkemuka Iran, kata Timbalan Komander Pasukan Pengawal Pantai, Laksamana Muda, Ali Fadavi kepada media tempatan semalam.

Saintis itu, Mohsen Fakhrizadeh sedang memandu di sebuah lebuh raya di luar ibu kota Teheran dengan 11 pengawal keselamatan pada 27 November lalu apabila sebuah mesingan dihalakan kepada wajahnya dan melepaskan 13 tembakan, katanya.

Mesingan itu diletakkan di atas sebuah trak dan dihalakan hanya kepada muka Fakhrizadeh manakala isterinya yang hanya 25 sentimeter daripadanya tidak ditembak, lapor agensi berita Mehr yang memetik kenyataannya.

Ia dikawal secara dalam talian melalui satelit dan menggunakan 'sebuah kamera dan perisikan buatan' bagi menyasarkan sasarannya, tambah Fadavi.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua nuklear Iran dibunuh dengan mesingan kawalan jauh

Beliau berkata, kepala Fakhrizadeh ditembak dengan empat peluru dan tidak ada lelaki bersenjata di tempat kejadian.

Mohsen Fakhrizadeh. - Foto AFP
Mohsen Fakhrizadeh. - Foto AFP

Pihak berkuasa sebelum ini menyalahkan Israel dan kumpulan penentang iaitu Mujahidin Rakyat Iran (MEK) melakukan serangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Stesen televisyen milik kerajaan Iran iaitu Press TV melaporkan sebelum ini bahawa senjata-senjata 'buatan Israel' ditemui di tempat kejadian.

Pelbagai dakwaan dikeluarkan berhubung pembunuhan itu dengan beliau dikatakan terperangkap dalam satu serangan hendap bersama para pengawal peribadinya manakala agensi berita Fars pula mendakwa 'sebuah mesingan yang dikawal secara automatik' membunuhnya tanpa memetik sebarang sumber untuk mengesahkannya.

Menurut Menteri Pertahanan Iran, Amir Hatami, Fakhrizadeh merupakan salah seorang daripada timbalannya dan mengetuai Pertubuhan Pertahanan dan Penyelidikan serta Inovasi yang menumpukan kepada bidang pertahanan nuklear. - AFP