MAIK benar solat ikut SOP di kawasan PKPB, PKPP

Solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid, surau serta musolla bagi jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang diteruskan berdasarkan garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dikeluarkan sebelum ini. - Foto hiasan
Solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid, surau serta musolla bagi jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang diteruskan berdasarkan garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dikeluarkan sebelum ini. - Foto hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid, surau serta musolla bagi jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang diteruskan berdasarkan garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 20 Disember depan.

Beliau berkata, solat Jumaat, fardu dan aktiviti-aktiviti di masjid, surau serta musolla bagi jajahan Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang adalah dibenarkan beroperasi sebagaimana garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan kerajaan.

“Memaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V juga Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah mengampuni perkenan perkara berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Mohamad Rizam berkata, memandangkan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah, Kampung Huma Pasir Puteh (Kluster Huma), maka surau dan musolla yang terletak di dalam kawasan tersebut diarah tutup sehingga suatu tarikh akan diberitahu kelak.

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz

“Bagi arahan penutupan surau dan musolla yang terletak di dalam kawasan Kluster Mengketil dan kawasan Istana Negeri Kubang Kerian adalah diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu.

“Oleh itu, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod di Kelantan semalam terdapat dua kes baharu Covid-19 membabitkan Kluster Huma yang menjadikan jumlah keseluruhan bagi kluster itu adalah 57 kes.

Sementara itu, Pasir Puteh dan Kota Bharu masih berada di dalam zon merah.