X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO diminta kembali berbincang

Mahathir Mohd Rais
A
A

SHAH ALAM - UMNO digesa untuk menyelesaikan krisis politik di Perak dengan kembali melakukan musyawarah atau perbincangan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Ketua Bersatu Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, meskipun apa yang dilakukan oleh UMNO baru-baru ini adalah sesuatu yang sukar diterima, namun beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu berhenti menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.

Katanya, situasi semasa yang berlaku dalam kerjasama politik antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilihat bakal menjadi permulaan awal kepada perpecahan dalam kesatuan mereka sekiranya tidak diatasi dengan segera.

“Sekarang ini terlalu banyak salah menyalah, tuduh menuduh, benci membenci antara ahli Bersatu, Pas dan UMNO rentetan penggulingan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

“Remuk dan kecewa hati orang Melayu melihat bibit bibit perpecahan ini. Semacam sudah tiada ruang untuk bertoleransi sesama kita ini.

"Sudah tentulah tindakan yang dilakukan UMNO amat sukar untuk diterima. Namun jika boleh diselesaikan secara musyawarah atau perbincangan. Lakukanlah dengan segera," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Mahathir berkata, ketiga-tiga parti tersebut perlu segera menyelesaikan permasalahan tersebut di meja perbincangan supaya ia tidak memberikan sebarang kesan negatif kepada rakyat khususnya penyokong mereka.

“Kita semua harus sedar dan memperbaiki diri masing-masing serta jangan asyik tuding jari kepada orang lain sahaja dan berlagak seperti ‘big brother’. Cubalah berbincang dulu sebelum buat keputusan.

“Perselisihan faham adalah rahmat, tetapi janganlah sampai rakyat dan umat terkesan. Bertautlah semula,” katanya.

Tambah Mahathir, pertelingkahan yang sedang berlaku ketika ini juga dilihat disambut sebagai berita gembira oleh parti pembangkang yang sentiasa menunggu peluang untuk mengambil kesempatan atas perbalahan yang berlaku.

Katanya, perkara itu boleh dilihat melalui tindakan pembangkang yang dilihat menawarkan diri untuk bekerjasama bersama UMNO bagi mendirikan kerajaan baharu di Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang DUN Perak tidak dapat diteruskan tanpa MB, 4 Exco

UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!