MaraCorp berisiko jejaskan Bersatu

MaraCorp
MaraCorp
A
A
A

SEMASA pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kontroversi meletus disebabkan keputusan kerajaan ketika itu mahu menutup Mara Corporation atau MaraCorp, sayap pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Namun demikian, tindakan itu tidak diteruskan. Kita ingat sudah aman damai. Boleh teruskan kerja.

Maka dilantiklah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu daripada kalangan tokoh korporat yang sememangnya ternama, Datuk Badlisyah Abdul Ghani. Latar belakang beliau bukan calang-calang kerana pernah menjadi Timbalan CEO Kumpulan Tabung Haji dan CEO Kumpulan CIMB Islamic.

Beliau melaksanakan langkah transformasi untuk memperkasa semula syarikat dengan melantik pasukan pengurusan yang cukup berpengalaman terdiri daripada profesional bumiputera dan memulakan proses audit penuh ke atas syarikat dan subsidiarinya. Tidak sampai tiga bulan, tiba-tiba Badlisyah diminta menghentikan semua proses audit dan diarah bercuti oleh Lembaga Pengarah, sementara siasatan dilakukan atas tuduhan yang belum diketahui.

Kemudian dimaklumkan pengurusan syarikat telah mewujudkan jawatan baharu iaitu Pengarah Eksekutif dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif.

Jawatan ini lebih tinggi daripada CEO. Individu yang dilantik ialah Datuk Suhaili Abdul Rahman, yang sebelum ini Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif MaraCorp.

Beliau lebih dikenali sebagai ahli politik yang dulunya dengan UMNO, kini ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad telah menandatangani surat pelantikan Suhaili sebagai Pengarah Eksekutif.

Analisis berita ini bukan untuk membela Badlisyah. Sebagai orang berpengalaman dalam sektor korporat, beliau tahu bagaimana hendak menjawab segala tuduhan yang dikenakan. Itu pun kalau ada.

Apa yang ditekankan di sini ialah persoalan tadbir urus korporat atau corporate governance. Berapa ratus kali sudah kita diingatkan mengenai pentingnya setiap entiti pelaburan, khususnya milik kerajaan supaya mengamalkan tadbir urus korporat yang baik. Atas sebab inilah, Badlisyah dibawa masuk.

Artikel Berkaitan:

Sumber-sumber dalaman yang ditanya mengenai punca beliau dikenakan tindakan, ada pelbagai versi tetapi versi yang paling konsisten ialah langkahnya supaya dilakukan audit dan ketekunan wajar (due diligence) oleh firma audit antarabangsa ke atas MaraCorp menyebabkan arahan ‘bercuti’ dikenakan ke atasnya.

Lebih daripada ini, eloklah Menteri Pembangunan Luar Bandar memberi penjelasan kepada kita semua apa sebenarnya tuduhan ke atas Badlisyah. Kita boleh ingat kembali kes pemecatan Shaharuddin Zainuddin sebagai CEO Bank Pembangunan.

Akibatnya, bank tersebut telah diarah membayar pampasan RM1.8 juta kerana memecat CEO tersebut tanpa alasan wajar. Kes ini baru lagi berlaku iaitu pada 4 September 2020. Boleh Google.

Kalau tidak hirau bab mahkamah, tolong tengok aspek yang lebih sensitif: keberadaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini juga tidak semena-mena berada dalam situasi yang tidak menyenangkan disebabkan isu MaraCorp ini.

Mengapa? Kerana Dr. Abdul Latiff adalah menteri Bersatu, Suhaili adalah Ahli Majlis Tertinggi Bersatu. Sepatutnya orang politik tidak dilantik dalam entiti pelaburan milik kerajaan. Jangan ambil. Jangan gajikan. Tetapi buat juga.

Kerana apabila dilantik orang sesama kepentingan politik, tentulah mudah orang lemparkan tuduhan amalan kronisme.

Kerajaan PN memiliki majoriti amat rapuh hari ini. Parti yang membentuk kerajaan hari ini terang-terang beritahu kewujudan mereka sekadar memastikan PH tumbang. Lihat apa terjadi di Perak.

Malangnya, orang politik masih dilantik dalam syarikat milik kerajaan dan berisiko dibenci rakyat sekali lagi. Sebenarnya, audit ke atas MaraCorp dan subsidiarinya amat diperlukan supaya rakyat tahu apa status terkini Mara Inc dengan isu pelaburan hartanah di Melbourne dan juga Pelaburan Mara Berhad (PMB).

Seandainya benarlah usaha audit ke atas MaraCorp ini menjadi punca sebenar Badlisyah dikenakan tindakan, memang sulitlah kita akan tahu apa sebenarnya yang berlaku.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian