Tidak perlu SOSMA untuk pencemar air

No Image Caption
A
A
A

PADA 23 November 2020, dua orang dilaporkan telah didakwa di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan. Mereka didakwa berkaitan dengan gangguan air di Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini. Menurut pertuduhan, mereka didakwa telah melakukan sabotaj ke atas bekalan air.

Sebelum ini, terdapat pendakwaan lain terhadap individu-individu yang dikatakan telah menyebabkan pencemaran air di Lembah Klang. Akan tetapi, pertuduhan terhadap dua orang tersebut merupakan kali pertama di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan sabotaj.

Kesalahan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan adalah suatu kesalahan yang serius. Jika disabitkan bersalah, mereka berdua berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup.

Mereka berdua akan dibicarakan di bawah Akta Kesalahan Kesalamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai SOSMA. SOSMA bukanlah undang-undang yang mewujudkan kesalahan, tetapi merupakan undang-undang yang memperuntukkan prosedur, kaedah-kaedah keterangan dan juga kuasa kepada pihak berkuasa berkenaan dengan apa yang dikategorikan sebagai ‘kesalahan keselamatan’.

Menurut SOSMA, ‘kesalahan keselamatan’ termasuklah kesalahan-kesalahan di bawah Bahagian VI (kesalahan terhadap Negara) dan Bahagian VIA (kesalahan keganasan). Seksyen 124K juga tergolong di bawah kategori kesalahan kesalamatan ini.

SOSMA sering dikritik oleh pelbagai pihak. Terdapat pelbagai peruntukan dalam SOSMA yang memberi kelebihan kepada pihak pendakwaan semasa perbicaraan suatu pertuduhan kesalahan keselamatan. Peruntukan-peruntukan ini juga bercanggah dengan kaedah-kaedah keterangan yang sedia ada.

Ini menjadikan SOSMA suatu undang-undang yang gagal menjamin hak perbicaraan adil bagi seorang tertuduh.

Salah satu contoh adalah Seksyen 18A SOSMA yang menyatakan bahawa apa-apa kenyataan, sama ada secara bertulis atau oral, yang dibuat kepada mana-mana orang, adalah diterima sebagai keterangan. Apa yang selalu terjadi adalah apabila seseorang yang ditahan di bawah SOSMA disoalsiasat untuk beberapa hari, orang itu akan diberi tekanan untuk menandatangani ‘pengakuan’ dalam bentuk bertulis.

Artikel Berkaitan:

Dalam perbicaraan biasa, pengakuan ini tidak boleh dijadikan bukti dalam mahkamah, kerana ia selalunya tidak dibuat dengan rela hati dan tanpa tekanan. Tetapi dalam perbicaraan SOSMA, keterangan seperti ini boleh diterima pakai.

Perlu ditegaskan di sini bahawa kita seharusnya memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa untuk bertindak membawa mereka yang mensabotaj bekalan air ke muka pengadilan. Tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab ini telah menjejaskan kehidupan jutaan manusia di Kuala Lumpur dan Selangor dan tindakan tegas harus diambil. Penggunaan Seksyen 124K dalam situasi ini adalah wajar.

Akan tetapi, mereka tidak seharusnya dibicarakan di bawah SOSMA. Kita perlu ingat, dalam perbicaraan jenayah seseorang tertuduh berhadapan dengan jentera Kerajaan yang boleh membuat siasatan dengan menyeluruh. Sekiranya terdapat bukti, mereka sudah tentu akan disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Tidak ada keperluan untuk memberi kelebihan kepada pihak Pendakwaan dalam perbicaraan dan menafikan hak tertuduh kepada perbicaraan yang adil. Hak ini adalah asas kepada sistem kehakiman negara kita dan penggunaan SOSMA adalah bertentangan dengan hak tersebut. Walau apapun perasaan kita tentang kesalahan mereka, kita tidak wajar menutup sebelah mata pada potensi ketidakadilan yang mungkin wujud dengan penggunaan SOSMA.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur