Covid-19 dan sikap kita

No Image Caption
A
A
A

KES jangkitan Covid-19 kelihatan terus berpanjangan walaupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertungkus lumus siang dan malam menjejaki kontak rapat bagi mereka yang positif Covid-19 serta menguruskan pesakit-pesakit di hospital sedia ada.

Apabila keadaan sudah semakin baik suatu ketika dahulu, sikap leka dan tidak bertanggungjawab segelintir daripada kita mengakibatkan pandemik ini kembali memburuk sehingga memenatkan petugas barisan hadapan yang gigih bekerja sejak Mac 2020 lagi.

Baik di Eropah, Amerika mahupun Asia Pasifik, banyak negara mengalami peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 akibat perbuatan individu yang tidak mematuhi langkah-langkah keselamatan.

Sebagai contoh, pada pertengahan Mei 2020, seramai 35,000 penduduk Korea Selatan terpaksa menjalani pemeriksaan hanya kerana segelintir pengunjung kelab malam yang tidak bertanggungjawab. Kluster kelab malam itu timbul apabila perintah kawalan pergerakan dilonggarkan sedikit setelah jangkitan berkurangan. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Kita di Malaysia juga tidak terkecuali. Kelantan sekian lama dikategorikan sebagai zon hijau namun kini Kota Bharu sudah menjadi zon merah. Ramai yang tidak mematuhi peraturan. Ini boleh kita lihat apabila ramai yang menyerbu kedai emas mengambil peluang membeli barang kemas yang kini berada pada harga antara RM223 hingga RM234 per gram.Walaupun masing-masing memakai pelitup muka, mereka bagaikan terlupa bahawa kes Covid-19 semakin meningkat khususnya di Kelantan. Akibatnya, polis telah mengeluarkan 23 kompaun terhadap pemilik kedai emas terbabit dan pelanggan mereka kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam membendung penularan Covid-19.

Selain itu, masih ramai juga yang sambil lewa dan tidak mematuhi SOP apabila tetap ke sana sini tanpa keperluan yang mendesak, seolah-olah virus Covid-19 ini tidak wujud. Tumbuhnya kluster-kluster baharu setiap hari sedikit pun tidak merisaukan mereka.

Keberkesanan langkah-langkah pengurangan jangkitan yang telah diuar-uarkan sekian lama dan ditekankan berkali-kali sangat bergantung pada kerjasama dan kepatuhan semua anggota masyarakat. Setakat ini, kawalan pencegahan yang dilakukan oleh KKM dalam menghadapi wabak Covid-19 ini dan juga sikap kita merupakan ‘vaksin’ yang paling berkesan.

Dalam mendepani Novel coronavirus ini, kita perlu mengamalkan norma-norma hidup baharu yang acap kali diingatkan kepada kita iaitu 3C dan 3W.

Artikel Berkaitan:

3C adalah perkara-perkara yang perlu dielakkan seperti tempat yang penuh sesak (crowded place), tempat yang terhad (confined space) dan perbualan pada jarak yang dekat (close conversation), manakala 3W adalah perkara-perkara yang perlu diamalkan serta diingati iaitu membasuh tangan dengan air sabun (wash), memakai pelitup separuh muka (wear) dan amaran daripada KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Setiap individu harus memainkan peranan membantu pihak KKM melawan virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini. Hanya dengan rasa tanggungjawab dan kerjasama setiap satu antara kita wabak ini dapat ditangani dan mudah-mudahan berakhir.

Semoga kita dapat hidup dalam keadaan normal seperti sediakala tidak lama lagi. Jaga sikap kerana kita perlu jaga kita.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.