Spekulator kapitalis main harga emas

No Image Caption
A
A
A

LUMRAH bagi setiap wanita menyukai perhiasan yang cantik lagi mahal lebih-lebih lagi barangan emas yang disebut-sebut dalam dialek Kelantan sebagai ‘pemanis tubuh’ yang terbukti menaikkan seri si pemakai.

Kebelakangan ini populariti emas melonjak sebagai ‘aset selamat’ yang wajar dimiliki untuk persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia akibat ancaman pandemik Covid-19.

Harga pasaran komoditi itu naik sehingga mencecah paras paling tinggi dalam sejarah negara iaitu RM9,188 per auns atau RM295.39 per gram pada 7 Ogos lalu berdasarkan harga Kijang Emas, Bank Negara Malaysia (BNM).

Di Kelantan, dengan kuasa beli yang begitu kukuh, premis-premis menjual emas sentiasa ada pelanggan biarpun ketika harganya melambung tinggi, apatah lagi semasa harga turun pada paras RM7,600 per auns atau RM244 per gram pada Rabu lalu.

Wanita-wanita kaya negeri Cik Siti Wan Kembang mula menyerbu kedai emas dengan berhimpit dan berasak-asak hingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19.

Dalam keterujaan itu, sedarkah kita bahawa faktor perubahan harga emas itu yang sebenarnya dimainkan oleh spekulator kapitalis yang rancak bermain naik turun harga emas di balik pasaran komoditi tersebut.

Hal ini diakui oleh Pensyarah Kanan Fakulti Keusahawanan & Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Mohd Nazri Muhayiddin bahawa kekurangan emas fizikal pada tahun 1971 menyebabkan keruntuhan Sistem Bretton Woods iaitu sistem pertukaran nilai mata wang yang ditetapkan dan ditambat dengan nilai emas.

Beliau berkata, Amerika Syarikat secara bersendirian menamatkan kebolehtukaran dolar kepada emas yang menjadi satu-satunya mata wang jaminan serta mata wang sandaran untuk negara-negara ahli.

Artikel Berkaitan:

“Mata wang tanpa emas itu menjadi titik permulaan wujudnya spekulator yang mempengaruhi harga emas bertujuan mempertahankan kedudukan mata wang itu sendiri,” katanya.

Kata beliau, spekulator menggunakan Sijil Emas (Gold Certificates) atau lebih mudah dikenali sebagai Akaun Pelaburan atau Simpanan Emas yang diwujudkan dan menjalankan jual beli emas ‘atas angin’ atau tanpa emas fizikal.

“Contoh ketika Covid-19, ekonomi dunia tidak menentu menyebabkan ramai cuba mendapatkan ‘aset selamat’ iaitu emas tersebut sebagai persediaan masa depan.

“Saat ditunggu spekulator menggunakan konsep permintaan dan pengeluaran lalu membeli Gold Certificates dalam jumlah yang banyak menggambarkan pengurangan emas sekali gus menyebabkan berlaku kenaikan harga dalam pasaran,” katanya.

Katanya, spekulator ketika ini pula akan mengambil kesempatan menjual semula Gold Certificates dengan banyak bertujuan untuk menurunkan harga emas kemudian membelinya semula dengan harga rendah dan memberikan keuntungan kepada mereka berlipat kali ganda.

“Kaedah ini tidak boleh dilakukan ke atas emas fizikal kerana jumlahnya terhad,” katanya.

Manfaat

Mohd Nazri mengakui ramai yang tidak mengetahui kewujudan spekulator waima wanita kaya yang berebut-rebut membuat pembelian ketika harga emas menurun ketika ini.

“Dalam analogi ekonomi, Covid-19 dan penemuan vaksin tersebut diandaikan sebagai pencetus kepada permulaan kenaikan harga emas manakala spekulator adalah pihak yang bertindak sebagai ‘minyak menyemarakkan api’.

“Dalam keadaan apa-apa jua sekalipun, kedudukan emas tetap teguh dan tidak akan mampu disaingi dengan mata wang yang nyata hanya sekeping kertas bercetak,” katanya.

Kesimpulanya, kewujudan spekulator kapatalis dalam mempengaruhi harga emas bertujuan mengaut keuntungan membuktikan emas itu memiliki intrinsic value yang tidak dapat dicabar nilainya sebagai ‘aset selamat’ dalam dunia ekonomi ketika ini.

Membeli dan memiliki emas atas dasar menjadikannya sebagai pemanis tubuh, pusingan modal perniagaan, simpanan atau apa-apa sahaja niatnya secara semulajadi akan memperoleh manfaat ketika ini mahupun pada masa hadapan.

* Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian edisi Kelantan