Lulus RM800,000 untuk atasi hakisan: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) meninjau keadaan hakisan pantai yang berlaku ketika melakukan lawatan kerja di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, hari ini.
Tuan Ibrahim (dua dari kiri) meninjau keadaan hakisan pantai yang berlaku ketika melakukan lawatan kerja di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meluluskan peruntukan segera sebanyak RM800,000 bagi menangani masalah hakisan pantai yang semakin meruncing di daerah ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan itu untuk pembinaan benteng penahan ombak sejauh 200 meter di kawasan Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Maras, di sini.

"Kedudukan kawasan tanah perkuburan di kampung ini hampir dengan pantai. Ia menyebabkan kawasan ini berisiko mengalami masalah hakisan yang dilihat semakin kritikal.

"Sehubungan ini, KASA meluluskan peruntukan untuk menyelamatkan tanah perkuburan termasuk beberapa kediaman," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di kawasan hakisan di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Tuan Ibrahim berkata, kerja-kerja pembinaan benteng penahan ombak akan dimulakan minggu depan. Tender untuk kerja-kerja pembinaan benteng telah dibuka dan esok merupakan tarikh tutup tender.

"Projek ini akan bermula minggu depan dan dijangka siap dalam tempoh enam minggu," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM90 juta bagi projek hakisan di kawasan pantai di daerah terbabit.

Katanya, peruntukan disalurkan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia itu melibatkan kawasan Tok Jembal, Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan sedang membuat kajian secara menyeluruh mengenai masalah hakisan pantai di beberapa kawasan seluruh Terengganu bagi membolehkan penyelesaian secara holistik diambil.

"Kajian ini akan mengambil sedikit masa bagi membolehkan projek-projek yang dijalankan seperti pembinaan benteng pemecah dan penahan ombak tidak memberi impak kepada kawasan lain terutama kawasan-kawasan yang berdekatan," katanya.