KASA kaji kemasukan air masin: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim (kiri) meninjau keadaan TCG Gong Kulim, Pasir Puteh.
Tuan Ibrahim (kiri) meninjau keadaan TCG Gong Kulim, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) sedia melaksanakan satu kajian bagi mengawal kemasukan air masin di pintu kawalan air pasang surut (TCG) bawah kendalian Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak, di sini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha kerajaan dalam membantu menyelesaikan isu sumber air di Kelantan pada masa hadapan.

“TCG ini mempunyai kawasan takungan air yang sangat besar cuma sedikit masalah apabila berlaku air pasang apabila air laut (masin) akan masuk ke dalam TCG. Apabila sumber asal bercampur dengan air laut, ia akan menjadi payau,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di TCG IADA Kemasin Semerak, Gong Kulim di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pengarah IADA Kemasin Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah.

Tuan Ibrahim (dua dari kanan di hadapan) bersama Che Abdullah (dua, kiri) dan Dr Nik Muhammad Zawawi (kiri) mengadakan lawatan kerja di TCG IADA Kemasin Semerak, Gong Kulim, Pasir Puteh.
Tuan Ibrahim (dua dari kanan di hadapan) bersama Che Abdullah (dua, kiri) dan Dr Nik Muhammad Zawawi (kiri) mengadakan lawatan kerja di TCG IADA Kemasin Semerak, Gong Kulim, Pasir Puteh.

Menurutnya, sekiranya perkara itu berjaya direalisasikan dan berfungsi dengan baik, ia mungkin boleh dijadikan sebagai salah satu antara projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).

Katanya, TAPS merupakan inovasi baharu diperkenalkan dengan cara menghentikan air takungan sebelum disalurkan semula ke laut.

“Langkah ini mampu dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kubang Kerian berkenaan berkata, sebuah lagi pintu TCG akan dibina di kawasan Bukit Gedombak.

Katanya, pembinaan yang menelan belanja kira RM1.8 juta itu mampu mengurangkan risiko banjir di Pasir Puteh dan peruntukannya dijangka diteliti di peringkat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam masa terdekat.