Pas akan bincang isu kerajaan baharu di Perak: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim (kanan) ketika melawat kawasan hakisan di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit di Kuala Nerus, hari ini.
Tuan Ibrahim (kanan) ketika melawat kawasan hakisan di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit di Kuala Nerus, hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Pas akan berbincang mengenai pembabitan parti itu dalam kemelut politik serta pembentukan kerajaan baharu negeri Perak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika diminta mengesahkan sama ada Pas terlibat atau sebaliknya dalam pembentukan kerajaan baharu di Perak.

"Kita akan berbincang, Insya-ALLAH," katanya ringkas kepada pemberita selepas melawat kawasan hakisan di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas telah dihubungi rakannya dalam Muafakat Nasional iaitu UMNO berhubung kemelut politik di Perak.

"Saya telah dihubungi oleh rakan-rakan UMNO untuk duduk berbincang mengenai perkara ini. Kita ada jawatankuasa Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dan saya yakin kita akan duduk berbincang, cuma dalam masa sehari dua ini kita ada perbincangan peringkat parti sebelum kita bincang dengan rakan-rakan dari UMNO dan Bersatu," katanya.

Tambah beliau, mesyuarat di peringkat parti akan diadakan minggu ni.

Dalam pada itu, katanya, Pas yakin UMNO akan terus mempertahankan kerjasama yang dimeterai menerusi Muafakat Nasional sekali gus beliau menolak kenyataan yang mengatakan bahawa UMNO sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.

"Saya dengar sendiri kenyataan Datuk Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), beliau kata seboleh mungkin menjaga Muafakat Nasional. Saya fikir apa yang ditulis media tidak begitu," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu media melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP bagi membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.

ARTIKEL BERKAITAN UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

'Jangan terlalu cepat rai penyingkiran saya'