RM1.83 juta naik taraf jeti nelayan

Jeti Nelayan Tanjung Nibong, Telok Mas yang akan dinaik taraf kepada jeti konkrit tidak lama lagi.
Jeti Nelayan Tanjung Nibong, Telok Mas yang akan dinaik taraf kepada jeti konkrit tidak lama lagi.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM1.83 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih 13 kemudahan infrastruktur jeti pendaratan ikan di negeri ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, daripada jumlah itu enam projek merupakan peruntukan yang disalurkan kerajaan Persekutuan yang keseluruhan berjumlah RM650,000 dan selebihnya adalah peruntukan tambahan menerusi Belanjawan 2021 berjumlah RM1.18 juta membabitkan tujuh projek menaik taraf.

Menurutnya, ia termasuk menaik taraf Jeti Nelayan Pernu, Jeti Nelayan Padang Temu dan Jeti Nelayan Tanjung Nibong di Telok Mas yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan agar nasib nelayan terus mendapat pembelaan serta keprihatinan kerajaan.

Menurutnya, projek naik taraf itu dilaksanakan bagi menggantikan jeti nelayan yang dibina sendiri oleh nelayan kepada jeti nelayan konkrit selain peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM16,000 bagi membina pos pengawal untuk melindungi enjin serta peralatan nelayan yang ditempatkan di jeti tersebut daripada dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan kit bantuan nelayan kepada seorang penerima pada program Sembang Santai Nelayan di Medan Selera Ikan Bakar, Telok Mas, semalam.
Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan kit bantuan nelayan kepada seorang penerima pada program Sembang Santai Nelayan di Medan Selera Ikan Bakar, Telok Mas, semalam.

“Untuk bajet tahun 2021, kementerian (MAFI) telah menyalurkan peruntukan yang cukup membanggakan sekali.

“Kerana itu kita perlu membuktikan keprihatinan kerajaan dengan membuat perancangan strategik supaya perancangan yang bersasar itu benar-benar dapat sampai kepada kumpulan yang sepatutnya kita bantu,” katanya selepas program Sembang Santai Nelayan di Medan Selera Ikan Bakar, Telok Mas di sini semalam.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di seluruh negara sedang menjalankan proses pemutihan terutama nama nelayan yang telah meninggal dunia dan telah uzur ataupun sakit.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, langkah ini membolehkan nelayan tidak berlesen didaftarkan sebagai nelayan sepenuh masa dengan memberi keutamaan kepada mereka yang hanya bergantung pendapatan sebagai nelayan dan tiada pendapatan lain.

“Contoh pada program ini, 163 yang hadir namun 101 daripadanya yang berdaftar dan selebihnya tidak berdaftar maka timbul rungutan yang dibangkitkan walaupun mereka telah sekian lama menjadi nelayan.

“Dengan pemutihan itu, kita dapat keluarkan mereka daripada kategori itu dan akan masukkan mereka yang memohon setelah menjalani temuduga Jabatan Perikanan,” katanya.

Dalam program itu Ahmad turut menyampaikan kit bantuan nelayan berupa barangan asas sebagai tanda penghargaan dan meringankan beban nelayan.