X

Kindly register in order to view this article
!

Ingkar PKP: Tangkapan harian catat tiga angka

Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mereka yang ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus mencatat tiga angka, apabila semalam seramai 518 individu ditahan, dengan 517 daripadanya dikompaun dan seorang direman.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal menjadi kesalahan tertinggi dengan 193 kes, manakala aktiviti di pusat hiburan sebanyak 119 kes.

“Kesalahan lain ialah tidak memakai pelitup muka iaitu 71 kes, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (58 kes), dan lain-lain sebanyak 77 kes,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata semalam, sebanyak 2,361 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,682 anggota telah membuat pemantauan di 3,543 pasar raya, 4,880 restoran serta 1,623 penjaja, 1,293 kilang, 3,377 bank dan 508 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, sebanyak 1,024 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 62 terminal pengangkutan udara.

Mengenai Operasi Benteng beliau berkata, seramai 47 pendatang asing diberkas hasil kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram, dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sejak April hingga semalam, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat sebanyak 13,786 pemeriksaan yang melibatkan 7,930 tapak binaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan di 8 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan yang diperiksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan 550 pemeriksaan khas SOP PKPP semalam, mendapati kesemua premis mematuhi SOP ditetapkan.

Sementara itu beliau memberitahu, sejak 24 Julai hingga semalam, 81,896 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 79 hotel serta 18 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 11,485 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 509 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 69,902 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya dan menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!