X

Kindly register in order to view this article
!

MSPO pacu minyak sawit Malaysia pilihan utama

Pekebun kecil sawit melihat poster berkaitan MSPO yang dipamerkan sempena program JOM MSPO. -Foto: Asril Aswandi Shukor
A
A

PELAKSANAAN mandatori pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bertujuan untuk meningkatkan imej minyak sawit negara dari perspektif kemampanan, di samping memenuhi permintaan pasaran antarabangsa bagi minyak sawit mampan.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan komoditi sawit dan memartabatkan industri sawit mampan Malaysia di peringkat global.

Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir -Foto: Asril Aswandi Shukor
Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir -Foto: Asril Aswandi Shukor

Menurutnya, pensijilan MSPO yang dilaksanakan secara mandatori melibatkan semua rantaian pengeluaran minyak sawit dan termasuklah sektor pekebun kecil, ladang dan pengilang pada Januari 2020.

“Ladang dan kilang kelapa sawit yang gagal melaksanakan pensijilan MSPO diberi amaran mulai 1 Januari 2020, dikenakan tindakan kompaun mulai 1 Julai 2020 dan akhirnya lesen MPOB mereka akan ditarik atau digantung mulai 1 Januari 2021,” katanya.

Menurutnya, bagi pekebun kecil pula, mereka akan diberi amaran mulai 1 Januari 2021, dikenakan tindakan kompaun mulai 1 Julai 2021 dan ditarik atau digantung lesen mulai 1 Januari 2022 sekiranya mereka gagal melaksanakan pensijilan MSPO.

“MPOB telah mengeluarkan kenyataan bagi penguatkuasaan peraturan terhadap pengusaha ladang dengan keluasan 100 ekar ke atas dan kilang kelapa sawit yang gagal melaksanakan pensijilan MSPO mulai 1 Januari 2020,” katanya.

Dr Ahmad Parveez berkata, kegagalan penanam sawit, estet dan pengilang mendapatkan pensijilan MSPO atau memulakan proses pensijilan itu pada tarikh kuat kuasa merupakan satu kesalahan.

“Mereka boleh diambil tindakan perundangan dan menyebabkan lesen digantung, dibatal atau tidak diperbaharui sebagaimana yang diperuntukkan di bawah peraturan 15, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” katanya.

Peranan MPOB dalam pensijilan MSPO

Menurut Dr Ahmad Parveez, pelaksanaan pensijilan MSPO pekebun kecil persendirian, MPOB telah menubuhkan 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara.

“SPOC diselia dan diuruskan oleh pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (Tunas) MPOB yang berada di 56 pejabat Tunas di seluruh negara. Semua 162 SPOC telah berjaya memperoleh pensijilan MSPO pada akhir tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata, MPOB berperanan memberi latihan kepada pekebun kecil, membantu dalam menyediakan dokumen untuk tujuan pensijilan, membantu menguruskan proses audit dan menyedia kelengkapan seperti alatan perlindungan diri dan rak penyimpanan bahan kimia.

“Bagi pekebun kecil tersusun, MPOB bekerjasama dengan agensi-agensi pengurusan pekebun kecil seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felcra Berhad (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dalam melaksanakan Pensijilan MSPO,” katanya.

Katanya, MPOB telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dan aktiviti utama adalah jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan pusat timbang.

“Sehingga September 2020, sebanyak 65 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 26 di Sabah, 21 di Semenanjung dan 18 di Sarawak dengan keahlian berjumlah 6,507 orang pekebun kecil,” katanya.

Katanya, MPOB menggesa lebih ramai pekebun kecil mendaftar keahlian KPSM untuk mendapat faedah yang disediakan melalui aktiviti koperasi.

Patuhi pensijilan MSPO

Beliau berkata, pelaksanaan pensijilan MSPO melibatkan pematuhan kepada kriteria dan prinsip yang telah ditetapkan mengikut standard pensijilan mampan yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Ia meliputi tanggungjawab dan komitmen pengurusan, ketelusan pematuhan terhadap undang-undang, tanggungjawab sosial, kesihatan, keselamatan dan keadaan pekerjaan dan persekitaran, sumber semulajadi, biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem.

“Prinsip lain ialah pembangunan tanaman baharu sawit, pekebun kecil tidak boleh menanam sawit di atas tanah yang mempunyai nilai kepelbagaian biologi yang tinggi, sebagaimana yang dikenal pasti oleh undang-undang peringkat tempatan, negeri dan negara,” katanya.

Tambahnya, pekebun kecil hendaklah mendapatkan maklumat mengenai jenis tanah, ciri-ciri topografi tanah dan kesesuaiannya sebagai kawasan menanam kelapa sawit daripada agensi kerajaan yang berkenaan.

C/H: 5.2 hektar tanaman sawit dapat sijil MSPO

Menurut Dr Ahmad Parveez, sehingga 3 Disember 2020, seluas 5.204 juta hektar atau 88.21 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat sijl MSPO.

Sebanyak 431 kilang buah sawit telah mendapat pensijilan MSPO atau 95.35 peratus daripada keseluruhan 452 kilang buah sawit.

Bagi pekebun kecil persendirian, semua 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat stijl MSPO.

“Ini melibatkan72,206 pekebun kecil persendirian dengan keluasan tanaman sawit sebanyak 309,036 hektar (31.33 peratus) dan pekebun kecil tersusun di bawah seliaan agensi persendirian dan negara, seramai 231,017 orang dengan keluasan 671,584 hektar (98.54 peratus),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah menyediakan insentif kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO yang merangkumi kos yuran pensijilan, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

“Pekebun kecil yang masih belum memperolehi sijil MSPO atau memulakan proses persijilan adalah digesa agar segera melaksanakan pensijilan MSPO dengan menghubungi Pusat Piawaian Kemampanan & Pensijilan, MPOB ditalian 03-8911 0192, faks: 03-8911 0191 serta melayari www.mpob.gov.my.

“Bagi pemilik estet dan kilang kelapa sawit pula boleh menghubungi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) di talian 03-5569 9676 atau faks 03-5567 9943, emelkan kepada [email protected] mpocc.gov.my atau melayari laman web www.mpocc.org.my,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!