ESSCom tahan tiga perompak di laut

Antara senjata yang dirampas ESSCom dan PPM daripada suspek dalam serbuan di perairan Semporna.
Antara senjata yang dirampas ESSCom dan PPM daripada suspek dalam serbuan di perairan Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki yang terlibat dalam beberapa siri rompakan di perairan Inderasabah, Tawau dan Kunak di daerah ini sejak kelmarin.

Tiga lelaki warga Filipina yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi serbuan di dua rumah tidak bernombor di pondohan Pulau Nusa Tengah dan pondohan Pulau Omadal.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, sepasukan anggota pasukan khas bertindak selepas menerima maklumat berhubung kes rompakan dan satu serbuan dibuat di pondohan perairan Pulau Nusa Tengah kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

"Dalam serbuan itu, dua lelaki dilihat cuba melarikan diri dan ketika ditahan, salah seorang daripadanya bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan sehingga menyebabkan suspek cedera di mata kiri.

"Pemeriksaan lanjut di rumah suspek menemui sepucuk pistol bersama peluru hidup yang disimpan dalam beg silang dan turut dirampas sebuah perahu serta enjin sangkut 30hp yang disyaki enjin curi," katanya.

Ahmad Fuad berkata lagi, dalam serbuan kedua pula dilakukan di pondohan perairan Pulau Omadal kira-kira pada jam 7 pagi semalam.

Bot dan enjin yang dirampas daripada suspek dalam serbuan di perairan Semporna.
Bot dan enjin yang dirampas daripada suspek dalam serbuan di perairan Semporna.

"Pasukan Khas ESSCom dan PPM telah membuat pemeriksaan sebuah rumah tidak bernombor di kawasan itu dan setelah memperkenalkan diri sebagai anggota keselamatan, seorang lelaki tiba-tiba bertindak cuba melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Ketika cuba ditahan, lelaki itu juga bertindak agresif dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan ketiga-tiga suspek disyaki terlibat dalam beberapa kes samun dan rompak yang berlaku beberapa hari lalu di kawasan perairan Inderasabah, Tawau dan Kunak.

"Dengan kejayaan tangkapan ini, pihak ESSCom percaya telah dapat menyelesaikan empat kes rompakan dan samun bersenjata yang melibatkan tiga kes di perairan Inderasabah, Tawau dan satu kes di perairan Kunak.

"Kesemua suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan samun berkawan bersenjata," katanya.

Terdahulu, Ahmad Fuad menyeru kepada semua lapisan masyarakat khususnya komuniti pesisir pantai agar sentiasa memberikan kerjasama termasuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.