Polis Melaka selesai 14 kes samun sejak awal tahun

Mohd Nor Yhazid (tengah) bersama pegawai menunjukkan barang kes yang dirampas.
A
A

MELAKA TENGAH - Polis Melaka berjaya menyelesaikan 14 kes berkaitan samun yang berlaku di Melaka dan Johor sejak awal tahun lalu dengan tertangkapnya empat individu pada 30 Januari lalu.

Kejayaan itu adalah hasil penubuhan satu pasukan khas bagi mengesan kejadian samun bersenjatakan parang di kawasan parkir di tepi sebuah restoran di Jalan Melaka Raya pada 6 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, mangsa ialah pasangan suami isteri yang disamun tiga suspek menaiki sebuah kereta berwarna putih dan rakaman visual menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menjadi tular di media sosial sejak itu.

Menurutnya, suspek mengacukan parang ke arah mangsa dan mengambil barang berharga milik mangsa serta isterinya. Ekoran kejadian itu, mangsa buat laporan di Balai Polis Banda Hilir.

“Bertindak atas maklumat satu pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat di dalam kes tersebut.

“Tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 23 tahun pada jam 2.30 pagi di sebuah restoran di Johor Bahru dan susulan daripada itu polis kemudiannya berjaya menangkap dua lelaki berusia 33 dan 29 tahun serta seorang wanita berusia 25 tahun pada jam 5 pagi di sebuah rumah di Taman Kempas Utama, Johor” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di IPK Melaka di sini, hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, polis turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun tersebut.

“Barangan yang dirampas terdiri dari sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna putih, sebuah motosikal jenis RX-Z yang kedua-duanya menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai telah dicuri.

“Barangan lain yang dirampas terdiri sebuah telefon bimbit jenama Mi, sebuah topi, sebilah pisau serta sarung, dua bilah parang panjang, sekeping papan nombor pendaftaran kereta bertulisan Honda dan sekeping nombor pendaftaran,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dengan serta bersenjata.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan oleh pihak polis untuk pertuduhan di mahkamah bersama bahan bukti rampasan. Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 31 Januari lalu,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia